SERDANG: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abdul Rauf Jusuh enggan menggulas isu pensijilan halal antara Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Ia susulan Teresa telah mengeluarkan surat tuntutan (LOD) ganti rugi RM25 juta kepada Dr. Muhammad Akmal yang didakwa memutar belit kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.
“Jangan tanya hal-hal Akmal. Saya pun sudah pening,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian Pavilion Melaka sempena MAHA 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), hari ini.
Semalam,Teresa menuntut ganti rugi RM25 juta daripada Dr. Muhmmad Akmal yang Ketua Pemuda UMNO kerana didakwa memutar belit kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.
Surat tuntutan (LOD) kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu disahkan peguam Teresa, Sankara Nair & Partners.
Dalam notis yang dihantar oleh peguamnya, kenyataan itu juga menyatakan, klien mereka juga menuntut Dr. Muhammad Akmal semua kos guaman dan perbelanjaan yang timbul daripada perkara ini.
“Jika pelanggan kami tidak menerima sebarang maklum balas yang memuaskan daripada anda dalam tempoh tujuh (7) waktu bekerja dari tarikh penerimaan notis ini, kami memulakan tindakan undang-undang tanpa merujuk lagi kepada anda,” menurut notis itu.
Notis itu turut menuntut Dr. Muhammad Akmal menarik semula kenyataan yang dikeluarkan serta memohon maaf atas tindakan beliau mencemarkan reputasi Teresa.
Namun, Dr. Muhmmad Akmal dilaporkan berkata, beliau sedia ke mahkamah untuk berdepan dengan tuntutan ganti rugi tersebut.
“Kita lawan di mahkamahlah. Kita tengok siapa yang putar belit,” katanya. – UTUSAN






