GEORGE TOWN : Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo hari ini tampil menafikan bahawa beliau akan bertanding pada sesi pemilihan semula Jawatankuasa DAP Pulau Pinang bagi penggal 2024/2027, 22 September ini.
Sundarajoo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai berkata, beliau telah menghantar borang penolakan pencalonan tersebut pada Isnin lalu.
“Merujuk kepada senarai calon yang akan bertanding dalam Konvensyen DAP Negeri Pulau Pinang pada 22 September, saya ingin menjelaskan bahawa saya bukan calon.
“Borang penolakan pencalonan saya telah dihantar selepas pukul 5 petang pada hari Isnin. Oleh itu, nama saya tidak sempat dikeluarkan daripada senarai calon yang telah diumumkan,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, DAP hari ini mengeluarkan senarai nama 32 ahlinya yang akan bersaing pada sesi pemilihan semula jawatankuasa negeri untuk parti itu di Pulau Pinang, 22 September ini.
Dalam senarai tersebut, nama Sundarajoo turut diletakkan sebagai salah seorang calon yang akan bersaing pada pemilihan berkenaan.
Sementara itu, Sundarajoo memberitahu, kelewatan menghantar borang penolakan pencalonan itu berlaku kerana beliau sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Pulau Pinang.
”Dengan ini, saya ingin menyatakan penghargaan tulus saya kepada semua perwakilan yang telah mencalonkan saya. Terima kasih atas keyakinan yang diberikan kepada saya,” katanya.-UTUSAN






