KLUANG: Perikatan Nasional (PN) menolak draf Memorandum Persefahaman (MoU)berkaitan peruntukan kepada pembangkang yang ditawarkan oleh Kerajaan Perpaduan, kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, jika kerajaan benar-benar ikhlas mahu membantu rakyat, tiada keperluan mengemukakan sebarang MoU kerana peruntukan wajar disalurkan kepada semua ahli Parlimen.
“Keputusan kita sudah jelas, kita tolak MoU sebab ia jelas bertentangan dengan Perlembagaan. Belajarlah daripada kita. Waktu kita menjadi kerajaan, kita bagi peruntukan kepada semua, tak mohon pun, tak ada surat pun, jauh sekali MoU.
“Orang kata, kita berlapang dada. Lagipun pemberian ini kita tak tahu jumlah berapa banyak RM30 juta, RM300,000 saja ke atau RM30,000, tak tahu sebab dalam MoU itu tidak pula nyatakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi Dialog Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Bersama Abah, di sini, semalam.
Muhyidin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, memandangkan sudah dua tahun rundingan diadakan, pihaknya kini berlapang dada dan akan membantu rakyat sekadar termampu.
“Rakyat susah kita tolong, buat apa yang kita termampu buat, jangan salahkan kami sebab tak buat rundingan balas. Bagi saya, kalau kamu nak bagi, bagilah,” katanya.
Ditanya apakah tindakan PN itu akan merugikan rakyat, Muhyiddin menyalahkan Kerajaan Perpaduan.
“Siapa yang merugikan rakyat? Kami? Siapa merugikan, merekalah (kerajaan) pasal tak bagi kepada kami peruntukan,” tambahnya.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri merangkap Ketua Whip Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihak pembangkang boleh mengemukakan cadangan baharu atau maklum balas tentang draf MoU dan dokumen sedia ada boleh dijadikan asas bagi perbincangan antara kedua-dua pihak. – UTUSAN






