KOTA BHARU: UMNO Kelantan melihat penubuhan Syarikat SG4 Sdn. Bhd tidak memberi manfaat kepada negeri ini selepas terpaksa berkongsi hasil sama rata dengan Kedah, Perlis dan Terengganu.
Timbalan Ketua Penerangan UMNO negeri Noor Hariri Mohamed Nor berkata, langkah itu lebih kepada politik murahan Pas untuk menutup kelemahan pentadbiran mereka.
“Saya lihat SG4 ini tiada kesan positif pun. Hal ini kerana melalui SG4 semua kerajaan negeri perlu berkongsi kekayaan dan agihan hasil secara saksama.
“Situasi ini tentunya tidak memberi kelebihan apa-apa kelebihan kepada Kelantan. Apa yang boleh disimpulkan, tindakan ini ibarat menang sorak, kampung tergadai,” katanya kepada Nexbyte.
Noor Hariri memberitahu, Kelantan menjalinkan kerjasama dengan negeri-negeri maju seperti Johor, Selangor dan Pulau Pinang yang terbukti mempunyai model perniagaan berdaya saing dan bernilai tinggi.
Katanya, Kerajaan Kelantan perlu berlapang dada dengan melupakan ego dan pendirian politik jika mahu berjaya.
“Bukannya hanya berada dalam ruang lingkup tertutup sesama parti. Nasihat saya kepada Kerajaan Kelantan, perkasakan dahulu anak-anak syarikat mereka seperti Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Kumpulan Perkayuan Kelantan (KPK), Syarikat Kelkon Sdn Bhd dan banyak lagi yang mengalami kerugian serta penyusutan pendapatan.
“Jana sebanyak mungkin keuntungan daripada anak syarikat ini supaya dapat dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk pembangunan dan kebajikan,” katanya. – UTUSAN






