KUALA LUMPUR: Beberapa tokoh dan selebriti tempatan seperti bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza, bekas pemain badminton, Datuk Lee Chong Wei dan pempengaruh Khairul Aming antara yang dieksploitasi suara dan wajah mereka oleh pihak tertentu untuk tujuan menipu orang ramai.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pihak berkenaan menggunakan suara dan imej selebriti terlibat untuk menyamar serta menipu mangsa supaya menyerahkan wang atau maklumat peribadi.
Menurutnya, negara kerugian RM3.18 bilion akibat sindiket penipuan dalam talian antara 2021 dan April 2024.
“Peningkatan jumlah kes serta kerugian yang berkaitan menunjukkan prevalens jenayah siber meningkat pada kadar membimbangkan walaupun terdapat usaha dan keterlibatan berterusan dengan penyedia platform media sosial,” katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Media Asia Ke-19 dan Mesyuarat Bersekutu bertemakan Media: The New Odyssey’ di sini semalam.
Beliau berkata, kesan platform media sosial menjadi domain utama untuk kandungan yang dijana kecerdasan buatan (AI) dan alternatif berdaya maju menjadi terhad justeru beliau percaya sudah tiba masa untuk mempertimbangkan semula untuk pengelasan mereka sebagai kemudahan awam.
Sehubungan itu, Nie Ching berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menurunkan 32,676 kandungan penipuan atau scam dalam talian antara Januari hingga 15 Ogos, peningkatan daripada 6,297 berbanding pada 2023.
“Ini bermakna platform seperti Facebook, Instagram dan Tiktok boleh dianggap sebagai perkhidmatan penting sama seperti pembekal air, elektrik atau internet,” ujarnya.
Pengelasan semula ini katanya, akan menjadikan platform ini tertakluk kepada peraturan kerajaan, memastikan perlindungan hak pengguna lebih baik dan pengurangan kandungan berbahaya.
“Sama seperti pengawasan ke atas kemudahan awam tradisional, kerangka kerja pelesenan untuk media sosial dan pemesejan segera boleh membantu menangani isu seperti maklumat salah, pelanggaran privasi dan penyebaran bahan berbahaya,” katanya.
Beliau berkata, dalam perkembangan pesat landskap digital hari ini, pengamal media perlu menghadapi dan menangani situasi yang muncul disebabkan kehadiran teknologi AI.
“Meskipun teknologi mempunyai potensi besar untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat ia juga membawa risiko terutama berkaitan penyebaran maklumat salah dan maklumat palsu.
“Andai dibiar ancaman ini boleh mencetus ketegangan geopolitik, polarisasi masyarakat dan memudaratkan individu termasuk penipuan dan pencerobohan privasi yang dipermudah oleh teknologi palsu dan pembuli siber,” katanya. – UTUSAN






