KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersedia untuk disiasat berhubung dakwaan wujud unsur penipuan dalam membentuk Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, gabungan itu mempunyai rakaman video 10 ahli Parlimen yang didakwa telah menandatangani dua akuan berkanun (SD) dan menandatangani ikrar yang memberinya kuasa untuk membentuk kerajaan.
“Saya harap pihak yang bertanggungjawab seperti polis, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) atau Jabatan Peguam Negara sendiri akan menyiasat dakwaan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan perhimpunan agung tahunan Parti Progresif Penduduk (MYPPP) Ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.
Pada Ogos lalu, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berhubung dua kesalahan.
Dua laporan polis dibuat sebelum ini yang mendakwa Ahmad Zahid menipu Yang di-Pertuan Agong Ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung akaun bersumpah Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) selain menyalah guna kuasa berkaitan peruntukan kepada Skuad Sabil.
Pengarah Pilihanraya Pemuda Perikatan Nasional (PN), Zahin Zainal berkata, laporan itu susulan dakwaan Presiden UMNO tersebut tentang kewujudan SD bertindih.
Katanya, dakwaan itu jelas mengelirukan dan bercanggah dengan kenyataan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon dan Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran sebelum ini yang mendakwa tindakan Ahmad Zahid ketika hendak menubuhkan Kerajaan Perpaduan tidak bersandarkan kepada ketetapan Dewan Tertinggi BN.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, keahlian MyPPP sebagai komponen Barisan Nasional (BN) akan dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN.
Katanya, ia susulan keputusan mahkamah berpihak kepada parti tersebut apabila kepimpinan terdahulu mengumumkan keluar daripada BN tanpa keputusan kepimpinan tertingginya.
“Dalam hal ini, keputusan ini mesti dibuat secara sebulat suara mengikut setiap perkara dalam perlembagaan parti. Ia akan disusuli dengan perbincangan dalam kalangan kepimpinan dan juga penelitian terhadap majlis tertinggi,” katanya. – UTUSAN






