ALOR SETAR: Tiga negeri di pantai barat Semenanjung dilanda banjir ekoran air pasang besar yang berlaku sejak kelmarn di negeri terlibat.
Negeri terlibat ialah Selangor, Kedah dan Perak manakala Pulau Pinang hanya dilanda hujan lebat dan tiada kawasan dnaiki air akibat fenomena itu setakat petang semalam.
Seperti dijangka, fenomena air pasang besar yang bermula awal pagi semalam di Kedah telah menyebabkan beberapa kawasan di Kuala Kedah dinaiki air.
Tinjauan Nexbyte awal pagi semalam mendapati, antara kawasan dinaiki air termasuklah Pekan Kuala Kedah, Jeti Kuala Kedah, Jeti Nelayan Seberang Kota serta beberapa kawasan perumahan antaranya Taman Seri Putra dan Taman Seri Pantai.
Penduduk mendakwa, kawasan tersebut mula dinaiki air sedalam kira-kira 0.5 meter bermula 12 tengah malam sebelum surut sepenuhnya kira-kira tiga jam kemudian.
Menurut penduduk Taman Seri Putra, Mariati Mansor, 52, peningkatan banjir kali ini agak cepat kerana fenomena air pasang besar itu turut ‘bertembung’ dengan hujan yang bermula tengah malam tadi.
“Berbanding tahun-tahun sebelumnya, paras air kali ini memang meningkat agak cepat. Mujur sebelum ini pihak berkuasa sudah memberi amaran awal mengenai kejadian banjir yang berlaku maka dapatlah kami buat persiapan sedikit sebanyak untuk menghadapi situasi ini.
“Antaranya kami letakkan barangan-barangan penting di tempat agak tinggi. Untuk barang-barang berat pula seperti sofa dan peti ais, kami lapikkan dengan batu bata agar kedudukannya tinggi sedikit.
“Dalam tempoh dua tiga hari ini, mungkin kami tak tidur malam untuk berdepan situasi ini. Selepas ini perlu bersiap pula untuk mencuci rumah kerana biasanya banjir seperti ini turut membawa selut,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Harun Abu Hassan, 48, memaklumkan, dia terlebih dulu membuat penghadang di depan rumahnya bagi mengelak air daripada masuk terlalu laju hingga membawa sampah sarap ke dalam rumah.
“Amaran mengenai situasi banjir ini banyak dipaparkan di media dan itu membantu penduduk membuat penduduk membuat persediaan awal. Semalam pun air naik juga tetapi hari ini parasnya lebih tinggi” katanya.
Dalam pada itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd. Hamizi Wan Mohd. Zain menasihatkan orang ramai agar memantau keselamatan anak masing-masing supaya tidak menjadikan fenomena itu sebagai ‘pesta’ air.
DI PULAU PINANG: Meskipun hujan turun sejak awal pagi di kebanyakan tempat di negeri ini sama ada di sebelah pulau atau Seberang Perai, tidak ada laporan mengenai kawasan yang dinaiki air buat masa ini.

Portal Public Infobanjir Pulau Pinang melaporkan, hanya aras air Sungai Junjung di Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan (SPS) berada pada paras amaran dan ia menunjukkan trend menurun sejak pukul 4.40 petang tadi.
Sementara itu, tinjauan Nexbyte juga mendapati, walaupun kejadian air pasang belum berlaku sepenuhnya, orang ramai dilihat mematuhi arahan pihak berkuasa untuk menjauhi kawasan berisiko seperti tepi pantai dan sebagainya buat masa ini.
DI PERAK: Beberapa kawasan di bandar Teluk Intan yang dinaiki air semalam sekali lagi dilanda air pasang besar sebelum surut pada sebelah tengah hari.

Air naik akibat limpahan dari Sungai Perak pada kira-kira pukul 5 pagi antaranya di Jalan Maharajalela, Jalan Syed Abu Bakar, Jalan Sungai Nibong, Lorong Kalat, Lorong Pinang.
Sementara itu, Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Horley Methodist, Jalan Bandar di sini turut dinaiki air berikutan hujan lebat dan air pasang besar sehingga paras betis menyebabkan guru dan murid memindahkan buku dan peralatan mengajar ke tempat tinggi.
Seorang guru di sekolah itu berkata, ini pertama kali air naik hingga ke kawasan sekolah tersebut dan paling tinggi disebabkan hujan dan fenomena air pasang besar ketika ini.
“Semalam keadaan seperti biasa, air tidak naik hingga ke kawasan sekolah tetapi pagi ini sekolah ini dinaiki air bermula pada pukul 6 pagi.
“Namun sesi pembelajaran 112 murid tidak terjejas kerana sekolah ini mempunyai bilik darjah di tingkat atas bangunan,” katanya kepada Nexbyte. – UTUSAN






