KUALA LUMPUR: Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak lagi boleh berpaut pada rekod kecemerlangan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai bekas Perdana Menteri yang berdepan cabaran pandemik Covid-19 ketika mentadbir negara.
Menegaskan perkara itu, calon Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Bersatu perlu lebih berani membawa tawaran baharu kepada rakyat dengan cara yang lebih komprehensif.
Katanya lagi, kaedah itu perlu meliputi cadangan dan penambahbaikan yang jauh lebih baik berbanding Kerajaan Madani.
“Saya fikir Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) tidak perlu berpaut kepada pencapaian Muhyiddin. Orang ramai faham perkara itu dan amat berterima kasih dengan manfaat yang diberi. Mungkin kami perlu lebih bercakap tentang tawaran kepada rakyat pada masa depan apabila kembali menjadi kerajaan. Bagaimana kami boleh menawarkan kehidupan lebih baik daripada kerajaan hari ini.
“PN mesti dapat meyakinkan rakyat dengan membolehkan kami menubuhkan kerajaan, perbelanjaan kerajaan akan menitikberatkan kesejahteraan rakyat, kepada Makcik Kiah dan Pak Mat, bukan hanya kepada segelintir kecil.
“Janganlah sampai ditarik subsidi secara mendadak seperti yang berlaku sekarang. Melabelkan T15, mereka juga merasakan kesusahan. Pelik bin ajaib,” katanya ketika ditemui Nexbyte di pejabatnya baru-baru ini.
Secara dasar, jelas Ahmad Faizal lagi, tawaran PN kali ini perlu memberi pendekatan kepada semua golongan termasuk B40, bukan hanya terus memberi kekayaan kepada sesetengah pihak semata-mata.
“Walaupun kononnya hari ini, kerajaan kata telus, tetapi kita nampak bagaimana kontrak-kontrak diberikan kepada syarikat yang mempunyai ‘kabel’ cukup besar, yang nampak sehaluan dengan ketua kerajaan.
“Kita nampak bagaimana hanya saudagar-saudagar yang dahulunya tiada apa, tetapi tiba-tiba menjadi kaya-raya dengan menguasai kontrak besar kerajaan. Mereka dikenali sebagai ‘salvador-salvador’ yang merupakan golongan kayangan. Apa sahaja yang diidamkan akan tercapai. Mereka kebal dan berkuasa.
“Jika terus berleluasa, pihak autoriti juga akan turut tunduk kepada kemahuan mereka. Rakyat terus susah, sehingga kita semua begitu sinonim dengan kata-kata, ‘hidup ini keras’,” ujarnya.
Dalam hal ini, jelas Ahmad Faizal, PN perlu berani membongkar pendedahan berkaitan dengan kerajaan supaya dapat memainkan peranan sebagai semak dan imbang, di samping memberi penawaran lebih baik serta menjadi pembangkang yang tahu akan asas perjuangannya demi rakyat.
“Untuk waktu kini, Bersatu perlu bekerja lebih kuat lagi bagi memastikan jentera parti lebih bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Kami perlu wujudkan lebih banyak cawangan, sekurang-kurangnya setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) mesti mempunyai beberapa cawangan yang lengkap bagi memastikan ada jentera yang boleh bekerja pada waktu pilihan raya.
“Dengan asas kekuatan yang dibina dalam Bersatu itu, saya yakin PN mampu memberi penawaran yang lebih baik untuk rakyat,” katanya. – UTUSAN






