KUALA LUMPUR: Pengarah, Dr. Ahmad Idham berkongsi rasa kurang senang terhadap kenyataan seorang pelakon junior yang mendakwa wujud budaya buli di lokasi penggambaran.
Pemilik nama lengkap Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 50, itu menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai satu tuduhan kasar yang boleh mencemarkan imej pekerjaan seorang pelakon.
“Dalam industri seni, tiada istilah siapa senior dan junior. Bila saya lihat video pengakuan pelakon berkenaan yang kononnya berdepan kes buli antara pelakon junior dan senior, itu adalah satu tuduhan kasar.
“Ayat buli digunakan macam satu jenayah pula. Kenyataannya dikhuatiri beri impak negatif kepada pelakon senior, seolah-olah budaya buli memang wujud di lokasi,” katanya.
Beliau memberi respons sedemikian selepas aktor, Alif Muhaimin mendedahkan wujudnya politik di antara pelakon lama dan baharu sehingga mencetuskan budaya buli di lokasi penggambaran.
Enggan menimbulkan salah faham, pengarah filem Mr. Cinderella itu berpendapat, pelakon tersebut perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak produksi yang terlibat.
Malah, dia juga menganggap tindakan berani mati pelakon baharu itu adalah suatu perkara yang tidak sihat dan boleh menutup periuk nasi sendiri.
“Jika timbulnya masalah, berkongsilah dengan pengarah atau pengurus produksi, bukan mengadu kepada media. Lokasi penggambaran adalah pejabat bagi kru dan pelakon. Sama juga macam orang yang kerja pejabat,” katanya.
“Kalau pekerja pejabat hadapi masalah, mereka akan mengadu kepada pengurus atau majikan. Apakah mereka laporkan pada media? Saya terpaksa menegur kerana apa yang dikongsikan bukan berlaku kepadanya, sebaliknya orang lain.
“Bagi saya, pelakon ini membuat tanggapan sendiri yang mungkin perkara tidak berlaku pun. Jadi, tindakannya membuat kenyataan terbuka adalah tidak sihat,” katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Idham berharap semua pelapis baharu menimba ilmu sebelum mahu bergelar pelakon supaya tidak menimbulkan sebarang masalah di set penggambaran pada masa akan datang.
“Mereka perlu ingat populariti tidak kekal selamanya. Kalau dapat bertahan lama seperti kami, itu sudah bagus. Tapi, apa yang penting carilah ilmu sebelum bergelar pelakon kalau tidak mahu timbul masalah di set,” ujarnya. – UTUSAN






