KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Jamil menasihatkan mana-mana artis atau selebriti yang mendakwa diri dibuli oleh pihak tertentu supaya membuat aduan bertulis dengan pihak persatuan.
Rozaidi atau Zed Zaidi berkata, pihaknya terbuka menerima sebarang aduan termasuk isu buli dan sekiranya perkara tersebut dinilai sebagai sesuatu yang serius, persatuan tidak teragak-agak untuk segera mengambil tindakan.
“Jika ada pelakon atau mana-mana artis berasakan dirinya dibuli atau menjustifikasikan dirinya seperti itu di set penggambaran, dia boleh buat aduan dengan Seniman mengikut proses disediakan.
“Boleh emel atau datang sendiri ke pejabat, ambil borang aduan dan maklumkan mengenai permasalahan. Kita akan ikuti proses seperti tanya peguam dan lain-lain.
“Jika terbukti isu itu disifatkan sebagai buli, kita akan ambil tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Nexbyte, semalam.
Bagaimanapun, ketika ditanya berhubung isu pelakon baharu, Alif Muhaimin yang mendakwa dibuli pelakon senior ketika terbabit dalam sebuah set penggambaran, Zed Zaidi memaklumkan setakat ini tiada aduan rasmi diterima pihaknya.
“Setakat ini, tiada aduan rasmi diterima dan saya cuma tahu mengenai isu ini menerusi laporan berita dan media sosial. Secara peribadi, menerusi apa yang dicanang dalam media sosial, saya fikir apa yang berlaku itu bukanlah gejala buli.
“Bagi saya, jika ia terjadi seperti apa yang menimpa nasib malang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) sebagaimana yang dilaporkan pihak media sebelum ini, itu baru diklasifikasikan sebagai buli.
“Secara peribadi, saya fikir, pelakon yang mendakwa dirinya dibuli oleh senior di set itu bukan kes buli. Ia sepatutnya dilihat sebagai satu proses pembelajaran kerana bidang seni ini cabarannya berbeza berbanding bidang kerjaya lain,”katanya.
Dalam pada itu, beliau menyarankan pelakon baharu terbabit untuk melihat dari sudut positif tentang bagaimana setiap pelakon senior mendidik dan memberi ilmu lakonan menerusi cara mereka masing-masing di set.
“Pelakon-pelakon senior biasanya tidak ada yang bersikap membuli melainkan mereka mahu mendidik dan berkongsi ilmu menerusi pengalaman masing-masing.
“Tetapi seandainya pelakon baharu terbabit tidak boleh menerimanya, maka saya fikir mungkin bidang lakonan tidak sesuai buatnya,” katanya. – UTUSAN






