KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mendedahkan bentuk hukuman dikenakan kepada pelaku buli dan pihak yang cuba menyembunyikan kes yang berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) daripada pengetahuan umum.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini bagi memastikan kes buli tidak akan berulang.
Menurutnya, kes buli di UPNM walaupun tidak banyak iaitu masing-masing satu pada 2021 dan 2022 tetapi kerajaan akan memberi fokus untuk memastikan kes tersebut tidak berlaku lagi.
“Kalau tengok 2022, hanya ada satu kes, 2023 ada satu kes, yang penting adalah kita perlu memastikan agar perkara ini tidak berlaku lagi. Tidak ada kadet senior yang bertindak menggunakan kekerasan, buli junior dan sebagainya.
“Apa yang kita akan lakukan adalah dedahkan bentuk kesalahan hukuman berat akan dikenakan, mengenai keseriusan kesalahan bersubahat, mana-mana pihak yang menyembunyikan kesalahan yang berlaku.
“Soal mangsa ini tidak ada masalah, kita akan pastikan mereka kembali menjadi normal,” katanya bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) di Dewan Rakyat, di sini, semalam.
Terdahulu, Onn meminta penjelasan adalah kementerian menyediakan program pemulihan sokongan dan psikologi di Institusi Pertahanan dan sejauh mana keberkesanannya.
Mengulas lanjut mengenai kes buli yang berlaku, Mohamed Khaled berkata, pihaknya sudah mempunyai keputusan dan ia perlu disahkan oleh Majlis Angkatan Tentera.
“Apa yang kita lakukan adalah kita akan dedahkan, akan hebahkan mengenai bentuk kesalahan serta hukuman berat akan dikenakan. Kes yang ada ini memang sudah ada keputusan yang perlu disahkan oleh Majlis Angkatan Tentera bila bersidang kelak.
“Soal kena buang, kena bayar balik denda, soal kena keluar asrama..keputusan telah diambil untuk disahkan,” katanya lagi.
Terbaharu, seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didakwa di mahkamah kerana mencederakan juniornya menggunakan seterika wap panas dan berdepan hukuman termasuk diberhentikan pengajian dan membayar balik semua wang tajaan. – UTUSAN





