KUALA LUMPUR: Elemen kecuaian pemandu dan kenderaan dipandu laju antara punca kemalangan treler membawa kereta kebal milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 7 November lalu.
Bagaimanapun, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, keputusan itu berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh Lembaga Siasatan Tentera Darat mengenai kemalangan tersebut.
Menurut beliau, tiada kompromi dengan kecuaian dan kelalaian pemandu termasuk pegawai atau penyelia yang terlibat kerana kejadian itu membabitkan kerugian sehingga RM182,000.
“Kami akan segera mengambil tindakan ketenteraan. Tidak kiralah yang terlibat itu pegawai atau pun penyelia.
“Penilaian akan dilakukan dan dibicarakan, seterusnya akan diberi pengadilan yang sewajarnya,” katanya selepas Majlis Pemakaian Pangkat Sarjan Mohd. Nor Khalid di sini, semalam.
Pada 7 November lalu, Nexbyte melaporkan sebuah treler ATM yang membawa muatan kenderaan perisai terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 35.2 Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak dari arah Genting Sempah ke Gombak.
Mengulas lanjut, Muhammad Hafizuddeain berkata, akibat kemalangan tersebut Kenderaan Pembawa Kereta Perisai (KPKP) milik ATM itu rosak teruk sehingga menyebabkan kerugian RM182,000.
Katanya, semua aset ATM bernilai tinggi dan organisasi itu tidak mahu pihak kerajaan terpaksa menanggung kerugian.
“Kemalangan itu tiada unsur sabotaj selain kita juga akan lebih proaktif dalam menangani kes sebegini kerana tidak mahu pengguna jalan raya yang lain terlibat atas kecuaian pihak kami,” kata beliau. – UTUSAN






