PUTRAJAYA: Seramai 246 penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) dalam kalangan umur 18 tahun ke bawah perlu diselamatkan dengan memberikan hak pendidikan sewajarnya kepada mereka dalam tempoh pemulihan daripada gejala penagihan dadah.
Dalam melaksanakan tanggungjawab ini, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melaksanakan Program Pendidikan Akses Klien (PAPK) dengan memulakan inisiatif sendiri menyediakan peluang pendidikan kepada golongan itu, sekurang-kurangnya mampu mendapatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, agensi itu mengkhususkan Puspen Karangan di Kedah untuk menjalankan program rawatan dan pemulihan ke atas penagih-penagih dadah remaja berkuat kuasa pada 2014.
Pada masa itu, kata beliau, lokasi itu hanya menempatkan penagih-penagih dadah dalam kalangan remaja berusia 21 tahun ke bawah.
“Pada 2019 pula, Puspen Karangan diberi tanggungjawab menempatkan penagih-penagih dadah remaja yang berumur di bawah 18 tahun dengan kapasiti penghuni sebanyak 246 orang.
“Merujuk kepada faktor umur semua penghuni, mereka sepatutnya mendapatkan pendidikan formal di sekolah, sebab itu program PAPK dirintis di Puspen Karangan sejak 2015,” katanya kepada Nexbyte, semalam.
Ruslin bekata, golongan itu perlu diberi hak sewajarnya dalam mendapatkan pendidikan walaupun terjebak dengan penagihan dadah dan gagal hadir ke sekolah.
Malah, katanya, terdapat juga sebahagian besar daripada penghuni terlibat dengan kes-kes disiplin sehingga menyebabkan mereka dikenakan tindakan buang sekolah.
“Terdapat klien yang masih bersekolah dirujuk oleh pengurusan sekolah dengan persetujuan keluarga untuk klien berkenaan menjalani kepulihan di sini. Atas sebab ini juga program PAPK mula diperkenalkan,” katanya.
Dalam pada itu, Ruslin berkata, program PAPK ini perlu mendapat sokongan dan bantuan sewajarnya oleh kerajaan terutama dalam menyediakan kemudahan pembelajaran.
Katanya, ia termasuk menyediakan fasiliti lebih baik seperti kerusi dan meja yang sesuai untuk sesi pembelajaran serta kemahiran tenaga pengajar profesional bagi mengajar mata pelajaran teras.
“Anak-anak yang mendapat pemulihan di Puspen ini berpotensi untuk berjaya dalam pendidikan. Sebagai rekod, seramai 214 penghuni diberi peluang untuk mengambil SPM bagi tempoh 2015 hingga 2021,” katanya.
“Daripada jumlah itu, hampir 50 peratus atau 100 orang penghuni layak mendapat sijil. Ia sekali gus menunjukkan keberkesanan program ini dan mereka boleh menyambung pengajian di peringkat tinggi selepas tamat tempoh pemulihan,” katanya. – UTUSAN






