KANGAR: Kewujudan kartel yang mengawal harga dan bekalan input pertanian seperti benih, baja dan racun sudah lama ‘menyeksa’ pesawah yang terpaksa berdepan pelbagai masalah setiap kali musim penanaman padi sehingga ada yang menanggung kerugian.
Isu tersebut bukan baharu sebaliknya sudah berlarutan puluhan tahun lalu dan sudah tiba masanya kerajaan memberi pembelaan kepada pesawah bukannya menjaga kartel atau ‘mafia’ padi.
Justeru, para pesawah menggesa agar kerajaan bukan sahaja perlu membongkarkan permainan kartel sebaliknya mengenakan tindakan tegas terhadap mereka agar petani tidak terus menjadi alat kepada kartel atau syarikat besar ini bagi mengaut kemewahan.
Bercakap kepada Nexbyte, seorang pesawah, Mohd. Noor Hashim, 60, berkata, antara paling ketara permainan kartel-kartel berkaitan harga dan kelewatan bekalan benih padi setiap kali musim menanam dan permainan itu menjejaskan jadual penanaman pesawah.
Katanya, angkara permainan kartel yang menguasai pasaran, harga benih padi yang sebelum ini hanya RM35 telah mencecah RM58 dan sentiasa terus meningkat.
Selain itu, katanya, masalah sama turut melibatkan pembekalan dan permainan harga input pertanian lain seperti baja dan racun.
“Sebagai contoh racun, meskipun, pesawah sudah memulakan tanaman namun racun masih tidak sampai-sampai kepada pesawah. Masalah kartel ini bukan baharu malah sudah berlarutan sejak puluhan tahun lalu.
“Akibat tindakan kartel-kartel yang memonopoli menentukan harga padi, benih, baja dan racun mengakibatkan pesawah yang menjadi mangsa. Kehidupan pesawah bukannya senang dan terus terhimpit setiap kali musim penanaman padi akibat masalah berulang ini,” katanya.
Kelmarin Nexbyte melaporkan, isu ketiadaan bekalan beras tempatan di pasaran yang berlarutan sejak hampir dua tahun lalu dijangka mampu selesai selepas kerajaan akhirnya akan mendedahkan kartel padi dan beras yang selama ini menguasai pasaran dan mencorak industri beras tersebut.
Justeru, Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman yang sebelum ini mendedahkan mengenai kartel berkenaan menggesa agar kerajaan segera mendedahkan kartel berkenaan sekali gus mengambil tindakan setegas-tegasnya.
Terdahulu, akhbar ini juga melaporkan, kerajaan akhirnya akan mendedahkan kartel padi dan beras yang selama ini mencengkam industri tersebut sehingga mengaut keuntungan ke atas kesengsaraan rakyat serta memonopoli bekalan makanan asas dengan kritikal.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr. Fuziah Salleh dilaporkan berkata, pendedahan kartel padi dan beras akan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelak.
Mengulas lanjut, Mohd. Noor berkata, kartel-kartel berkenaan juga menguasai pasaran beras sehingga menyebabkan beras tempatan tidak ada di pasaran dengan pesawah juga terpaksa membeli beras import untuk kegunaan sendiri.
“Bagaimana beras tempatan tidak ada di pasaran sedangkan petani di negara ini membekalkan sehingga 60 peratus bekalan beras tempatan,” katanya.
Seterusnya Mohd. Noor berharap agar kerajaan membongkar secara habis-habisan permainan kartel-kartel terbabit yang selama ini telah menyusahkan pesawah di negara ini.
Seorang lagi pesawah, Zaidi Nasir,40, berkata, isu kartel yang memonopoli bukan perkara baharu malah sudah berlarutan sejak sekian lama khususnya berkaitan isu benih.
Katanya, kartel-kartel tersebut perlu dibanteras agar manfaat kembali diperolehi pesawah.
“Kudrat daripada pesawah ini, kartel memperoleh keuntungan manakala pesawah ini hanya mendapat keuntungan kecil dengan kadang-kala rugi. Jika isu menguasai pasaran ini, tidak berlaku, sudah tentu masalah seperti kelewatan bekalan tidak terjadi.
“Jika tidak, masalah sama terus berulang sehingga pesawah sudah muak berdepan masalah sama setiap musim. Selalunya, benih, jika tidak benih, baja atau racun pula lewat,” katanya. – UTUSAN






