PETALING JAYA: Pengunduran Parti Maju Sabah (SAPP) daripada Perikatan Nasional (PN) tidak menggugat keharmonian dan kesepaduan parti-parti komponen perikatan itu terutama dalam mendepani Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan SAPP itu jelas menunjukkan yang ia hanyalah demi kepentingan politik tertentu.
Kata beliau, tindakan parti tersebut tidak mencerminkan imej keseluruhan yang cuba dibawa oleh PN ke negeri itu.
“Malang sekali rakyat Sabah apabila ada parti politik yang hanya membuat satu keputusan untuk kepentingan pemimpin dia atau kumpulan dia.
“Jika diingat kembali, apabila PN menjadi kerajaan di Putrajaya ketika itu, mereka bersungguh mendukung perjuangan yang dibawa kepimpinan PN, tiba-tiba kita sudah tidak ada kuasa. mereka tidak mahu bersama kita.
“Kalau isu mahu parti tempatan, kami tawarkan tidak ada pun calon luar Sabah mewakili PN. Semua calon tempatan dari Sabah. Apa alasan lagi mahu diberi,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, semalam.
Semalam, SAPP mengambil keputusan untuk keluar daripada PN secara rasmi berkuat kuasa bulan lalu.
Presidennya, Datuk Seri Yong Teck Lee berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi SAPP pada 23 November lalu dan dibuat susulan keputusan PN yang ingin bertanding pada PRN17.
Sementara itu, Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), S.P. Punithan berkata, pengunduran SAPP tidak sesekali menandakan PN sedang bergolak dan menanti perpecahan seperti didakwa pelbagai pihak.
“Mesyuarat yang lepas, semua pemimpin utama parti komponen hadir jadi kalau benar pergolakan berlaku di dalam PN, sudah pasti ada antara kami yang tidak hadir tetapi perkara itu tidak berlaku, sebaliknya mesyuarat berjalan dengan aman.
“Berkenaan SAPP, mereka keluar bukan disebabkan masalah kepimpinan PN tetapi kerana mahu 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ditandingi parti tempatan Sabah sahaja, PN pula merupakan gabungan parti nasional jadi itu menyebabkan berlakunya konflik,” katanya.
Mengenai pengunduran Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Bendahari Agung PN, Punithan berkata, beliau ada ‘memujuk’ Menteri Besar Terengganu itu untuk mempertimbangkan balik keputusannya.
“Saya rasa kita perlukan Ahmad Samsuri kerana beliau merupakan aset untuk PN dan negara, saya secara peribadi sudah maklumkan beliau agar mempertimbangkan balik keputusan meletakkan jawatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Oh Tong Keong enggan mengulas mengenai pengunduran SAPP itu tetapi tetap menegaskan ia tidak akan menyebabkan PN berpecah.
“Apa yang saya boleh cakap adalah PN kekal bersatu untuk menghadapi PRN17 yang akan datang. Mesyuarat terakhir pun kita bincang mengenai masa depan gabungan,” ujarnya. – UTUSAN






