PETALING JAYA: Projek pendalaman dan pelebaran Sungai Sibiew dan Sungai Kemena di Bintulu perlu dimulakan segera bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan itu.
Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, isu-isu seperti kelemahan sistem saliran di Bintulu telah menghalang Sungai Sibiew melepaskan air berlebihan dengan cekap dan menyebabkan paras sungai naik dengan cepat.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian berkata, cadangan projek pendalaman sungai di Sungai Sibiew telah diutarakan hampir lima tahun, namun tiada sebarang perkembangan setakat ini.
“Arus deras menyukarkan lagi operasi menyelamat, meningkatkan risiko kepada mangsa dan penyelamat. Kawasan yang paling terjejas adalah sekitar Sungai Sibiew, yang projek pendalaman dan pelebaran sungainya sudah tertangguh sekian lama,” katanya.
Menurutnya, sungai tersebut perlu diperdalam sekurang-kurangnya tiga hingga lima meter dan dilebarkan hingga 100 meter untuk menampung hujan yang semakin meningkat akibat perubahan iklim supaya dapat mencegah daripada bencana banjir.
“Banjir yang buruk ini seharusnya menjadi amaran yang mendesak agensi-agensi yang berkaitan perlu bertanggungjawab.
“Sungai Kemena juga perlu diperdalam kerana endapan menjadikan sungai itu semakin sukar dilalui bot,” katanya.
Beliau juga melahirkan rasa kecewa apabila banjir akibat hujan berterusan menjejaskan sambutan Tahun Baharu Cina di kalangan penduduk di kawasan itu. – UTUSAN






