KANGAR: Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempelawa Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng menyertai perhimpunan ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’, Isnin ini.
Katanya, Guan Eng tidak perlu bimbang soal prinsip memandangkan perhimpunan tersebut diadakan bagi memastikan keadilan ditegakkan.
“Perhimpunan bertujuan menegakkan keluhuran Perlembagaan susulan keputusan yang bakal menentukan sama ada Datuk Seri Najib Tun Razak layak dikenakan tahanan rumah.
“Jika terbukti Najib berhak mendapat tahanan di rumah, itu adalah hak beliau (Najib), maka perhimpunan adalah untuk menyokong keluhuran Perlembagaan,” katanya ketika ditemui Nexbyte di sini semalam.
Kelmarin akhbar ini melaporkan, kerjasama terbaharu antara UMNO dan Pas melalui himpunan solidariti untuk Najib Razak Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada Isnin ini dikhuatiri menggugat keutuhan kerajaan perpaduan.
Guan Eng dilaporkan berkata, tindakan UMNO yang merupakan sebahagian daripada kerajaan boleh menimbulkan keraguan terhadap kesetiaan parti itu kepada kerjasama yang sedia terjalin.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh dalam respon balas terhadap kenyataan Guan Eng itu berkata, perhimpunan itu tidak ada kena mengena dengan kerajaan perpaduan, sebaliknya dilakukan sebagai tanda sokongan terhadap bekas pemimpin nombor satu parti tersebut.
Ahmad Fadhli menasihatkan Guan Eng untuk tidak terus mempertikaikan prinsip dalam isu ini.
“Saya nasihatkan Lim Guan Eng, tak perlulah bising soal prinsip. Kita bukan nak memberikan DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) kepada orang yang sudah diperintah membela diri.
“DAP sendiri menerima individu yang dahulu mereka kritik untuk menjadi sebahagian dalam Kabinet, jadi, tidak ada apa-apa lagi soal prinsip yang perlu mereka bimbangkan. Saya terbuka menjemput Guan Eng hadir pada perhimpunan ini,” katanya.
Pas katanya, sentiasa mendukung prinsip keadilan untuk semua, termasuk Guan Eng, jika suatu hari nanti menghadapi kes serupa.
“Jika Guan Eng didapati bersalah tetapi layak menerima pengampunan Diraja, kita akan menyokong keadilan untuk beliau juga, itu pendirian kita,” katanya. – UTUSAN






