BESUT: Seorang peniaga sate di Jabi, di sini berada dalam dilema kerana terpaksa menaikkan harga 10 sen secucuk seiring dengan kenaikan harga barang semasa.
Norhisham Iberahim, 36, berkata, sejak dua tahuh lalu dia masih mengekalkan harga lama meskipun harga barangan lain meningkat beberapa kali dalam tempoh tersebut.
“Sejak 2023 hingga sekarang harga pelbagai jenis sate yang dijual di kedai saya adalah pada harga 70 sen dan RM1 meskipun harga di tempat lain mencecah RM1.20 hingga RM1.40 secucuk.
“Dalam tempoh ini, saya bertahan mengekalkan harga walaupun agak sukar tetapi demi memastikan harga sate ini mampu milik oleh semua golongan termasuk mereka yang kurang berkemampuan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurut Norhisham, harga yang ditawarkannya adalah 70 sen bagi sebatang sate tulang ayam, manakala RM1 bagi sate ayam, daging, pedal dan hati ayam.
Katanya, perniagaan sate itu dijalankan oleh tiga generasi keluarganya bermula daripada neneknya sehingga dia mengambil alih pada 2022.
Ujarnya lagi, sate di kedai keluarganya itu dijual bermula daripada harga 10 sen secucuk sejak 1977 dan kenaikan dalam tempoh beberapa tahun mengikut kenaikan harga barang mentah semasa.
“Sekarang ini kita bukan hanya melihat kenaikan harga barangan mentah tetapi saya juga perlu mengambil kira kenaikan bayaran bil utiliti seperti air, elektrik dan lain-lain.
“Tambahan ketika ini berlakunya penurunan pelanggan berbanding tahun-tahun sebelumnya yang mana purata jualan sekitar 1,000 ke 1,500 batang sate sahaja sehari,” katanya.
Mengenai kenaikan harga itu, Norhisham berkata, dia mengambil masa kira-kira satu hingga dua bulan lagi untuk melihat keadaan harga barang semasa.
“Sekiranya pendapatan kami tidak dapat menampung dengan harga yang ditawarkan ketika ini berkemungkinan harga baru akan dikenakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya.-UTUSAN






