PUTRAJAYA: Polis tidak boleh memeriksa telefon orang awam tanpa alasan yang munasabah kerana perkara itu mestilah berdasarkan maklumat risikan dan tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, polis tidak boleh dilihat sebagai pasukan penguatkuasa yang tidak mempedulikan peruntukan undang-undang.
Katanya, orang awam boleh membuat laporan jika pihak polis bertindak memeriksa telefon bimbit mereka tanpa tanpa asas yang kukuh.
“Jangan dilihat bahawa tindakan ini seolah-olah polis sebagai satu pasukan penguatkuasa yang tak peduli langsung soal peruntukan undang-undang.
“Kami ingin menjelaskan bahawa pihak polis tidak boleh sama sekali menyemak telefon bimbit orang kecuali ada asas untuk berbuat demikian,” katanya selepas meninjau persiapan penganjuran The Asia International Security Summit & Expo 2025 (AISSE’25) di sini, semalam.
Saifuddin berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain akan bertemu dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi memberikan perspektif tepat mengenai hak polis untuk memeriksa telefon bimbit orang awam.
Katanya, beliau mahu isu berkenaan difahami dengan lebih tepat, mengikut peruntukan undang-undang dan tiada pelanggaran hak asasi manusia berlaku.
“Selepas pertemuan itu (polis dan Suhakam), saya berharap Suhakam dapat membantu polis dalam mendidik masyarakat mengenai perkara itu,” katanya.
Kelmarin, Suhakam dalam kenyataannya menegaskan, polis tidak boleh sewenang-wenangnya memeriksa telefon bimbit orang awam ketika sekatan jalan raya kerana ia dianggap melanggar hak asasi manusia.
Sebelum ini, Razarudin dilaporkan berkata, polis berhak memeriksa telefon bimbit orang awam sekiranya ada syak wasangka atau mendapat maklumat seseorang itu disyaki melakukan kesalahan.
Menurutnya, hak itu termaktub dalam Seksyen 23 (1) Kanun Prosedur Jenayah, iaitu bagi maksud memastikan tiada sebarang komunikasi berunsur lucah, jelik, mengugut dan mengancam seseorang dan dibenar berdasarkan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.



