PUTRAJAYA: Walaupun mempunyai pendidikan yang tinggi dan mempunyai pengalaman yang luas dalam politik namun ia tidak bermakna bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak boleh diperdayakan.
Najib ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib ketika sesi soal balas berkata beliau masih boleh melakukan kesilapan sekiranya fakta tidak dibentangkan dengan cara yang betul atau diberikan maklumat yang salah.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Ahmad Akram bahawa pengalaman pendidikan dan kepakarannya yang dimilikinya sehingga dilantik menerajui negara adalah sukar untuk mana-mana individu memperdayakannya.
Najib menegaskan, walaupun beliau adalah Perdana Menteri ketika itu, dasar kerajaan bukan ditentukan oleh seorang individu sahaja.
“Saya tidak boleh meneruskan sesuatu yang saya fikir mungkin tidak dipersetujui oleh kabinet. Ia bukan keputusan seorang individu.
“Walaupun (saya) perdana menteri, anda bergantung kepada ramai orang. Jika orang yang betul menyokong anda, anda akan membuat keputusan yang betul,” katanya.
Terdahulu, Najib menyatakan tahap kepintaran adalah ‘bolehlah’ dan bersetuju dengan cadangan Ahmad Akram bahawa dia bukanlah ‘orang kampung’ (country bumpkin).
Najib memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang Ekonomi Perindustrian dari Universiti Nottingham yang diterimanya pada 1974.
Beliau kemudian menyertai bidang korporat di Malaysia selama dua tahun sebelum menceburi bidang politik pada 1976, berikutan kematian bapanya, Tun Razak Hussein.
Najib dalam pembelaannya sebelum ini sering menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai salah laku kewangan dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Malah, Najib menyatakan beliau tidak pernah mengetahui mengenai wang yang keluar masuk dalam lima akaun peribadinya yang ‘dikawal’ oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil sebagai pemegang mandat kecuali wang yang dikatakan derma Arab.
Najib kini sedang memberi keterangan bela diri atas 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB pada perbicaraan yang dijalankan di Istana Kehakiman, Putrajaya.
Perbicaraan didengar oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini. – UTUSAN





