ARAU: Himpunan pesawah di seluruh negara bagi menuntut harga lantai belian padi dinaikkan kepada RM1,800 per tan metrik bukan sekadar suka-suka, sebaliknya menuntut kerajaan mendengar rintihan dan kesusahan dialami mereka.
Kumpulan pesawah terlibat menegaskan mereka tidak lagi mampu bertahan dengan harga belian padi terlalu rendah manakala kos tanaman terus meningkat, menjadi punca pulangan hasil yang diperoleh bukan sahaja tidak setimpal tetapi kerugian.
Pesawah, Mohd. Noor Hashim, 62, berkata, harga belian padi yang menjunam pada paras lantai RM1,300 sudah tidak lagi relevan memandangkan kos jentera, tenaga manusia dan input pertanian sudah meningkat sekitar 30 peratus.
Katanya, keseluruhan kos menghasilkan padi sehinggalah ia dijual adalah sekitar RM1,500 serelung (0.3 hektar) dan pesawah tidak mampu lagi bertahan jika harga belian padi masih rendah.
“Kami berharap kerajaan dengar rintihan pesawah. Himpunan yang diadakan oleh pesawah yang boleh dikatakan di seluruh negara ini bukan suka-suka sebaliknya memohon kerajaan mendengar keluhan dan kepayahan kami.
“Inilah pekerjaan kami sejak turun temurun dan sawah ini sudah menjadi tradisi yang diturunkan sejak berzaman dan ia adalah sumber rezeki kami selama ini. Jika hendak mengusahakan tanaman lain, tanah sawah di negeri ini agak tidak sesuai,” katanya ketika ditemui bersama lebih 300 pesawah pada himpunan tuntutan naikkan harga padi di Jalan Tengah Kubang Gajah-Banat, di sini, semalam.
Mohd. Noor berkata, ketika ini, ada kawasan yang sudah boleh menuai hasil dan difahamkan harga belian padi adalah RM1,300.
“Kehidupan para pesawah kebanyakannya masih berada di bawah paras kemiskinan dan mereka tidak ada pilihan selain terpaksa juga mengusahakan tanaman kerana ia merupakan satu-satunya sumber pendapatan meskipun berdepan pelbagai masalah sejak kebelakangan ini,” katanya.
Pesawah, Hussam Ilias, 50, menjelaskan kos tanaman padi ketika ini sangat tinggi menjadikan kebanyakan pesawah sukar meraih pulangan hasil diharapkan, malah dia yang mengusahakan padi di kawasan seluas 20 relung, memerlukan kos sekitar RM15,000 semusim yang membabitkan kos menabur, meracun, membaja dan sebagainya.
“Kos bagi tanaman padi untuk satu relung pula adalah sekitar RM2,117 dan harga belian padi yang rendah ini pastinya akan membebankan kami,” katanya. – UTUSAN






