SHAH ALAM: Sebanyak 2,634 tapak pelupusan sampah haram di seluruh negara dianggap tidak selamat untuk pembangunan sama ada binaan komersial ataupun rumah persendirian kerana berisiko runtuh.
Risiko berkenaan dikenal pasti berikutan tanah yang dijadikan tapak pelupusan sampah sebelum ini tidak mempunyai kemampatan tinggi, mudah bergerak dan mengancam sebarang struktur bangunan yang dibina di atasnya.
Ini termasuk kawasan seluas kira-kira 52 hektar dekat Kampung Seri Sentosa, di Jalan Kuala Selangor-Sungai Buloh yang dijadikan tapak pelupusan sampah haram sejak lebih 10 tahun lalu.
Pensyarah Kanan Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ir. Dr. Mohd. Amizan Mohamed @ Arifin berkata, sisa sampah di dalam tanah memberi pelbagai kesan termasuk reaksi bahan kimia yang terhasil daripada faktor tersebut.
Menurutnya, terdapat empat risiko dikenal pasti yang dipengaruhi oleh faktor kejuruteraan dan geoteknikal, alam sekitar, struktur bangunan serta kewangan dan operasi.
“Tanah terutama yang ditambak dan menjadi tapak pelupusan sampah haram mengalami kemerosotan pada kadar kepaduan atau kemampatan selain kestabilan yang berkurangan akibat berlaku mendapan tidak sekata.
“Malah, akibat daripada kemerosotan tersebut, pergerakan tanah mudah berlaku dan apabila berlaku gegaran ia boleh bergerak seolah-olah seperti cecair akibat hilang kekuatannya berikutan sampah-sampah yang mereput di dalam tanah.
“Selain itu, sampah berkenaan boleh menghasilkan reaksi bahan kimia dan pelbagai gas seperti metana, amonia dan sebagainya yang boleh menyebabkan kebakaran di dalam tanah akibat tindak balas kimia yang turut memberi kesan kepada struktur bangunan seperti hakisan, karat dan sebagainya.
“Malah, pembinaan yang hendak dilakukan di atas tanah sedemikian akan menelan belanja yang tinggi kerana bangunan berkenaan memerlukan struktur yang kompleks seperti cerucuk lebih dalam, pembersihan dan rawatan atau penggantian tanah serta pemantauan rapat dalam ketika proses pembinaan,” katanya ketika dihubungi Nexbyte.
Jelasnya, semakin lama tanah itu dijadikan tapak pelupusan sampah, risikonya juga bertambah tinggi dan ia terpakai kepada semua bentuk bangunan sama ada komersial atau rumah persendirian.
Nexbyte sebelum ini melaporkan sebanyak 2,634 lokasi tapak pelupusan sampah haram telah ditutup sepanjang tahun lalu dengan anggaran jumlah sisa yang dibersihkan adalah sebanyak 1,500 tan.
Malah di Selangor, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Ng Suee Lim mendakwa terdapat lebih 100 tapak pelupusan sampah di negeri ini dan 57 daripadanya dikenal pasti aktif.
Selain itu, akhbar ini turut melaporkan sebuah tapak sampah haram semakin melebar daripada kira-kira 20 hektar kepada 52 hektar dekat Kampung Seri Sentosa yang didakwa berlarutan lebih 10 tahun dan mengancam penduduk sekitar.
Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor ketika dihubungi kelmarin memberitahu, pihaknya tidak memberi sokongan terhadap aktiviti menambak tanah yang turut melibatkan pelupusan sampah secara haram di sana kerana berisiko untuk sebarang pembinaan di kawasan itu pada masa hadapan.
Tambah Mohd. Amizan, meskipun berisiko tinggi terdapat pembinaan-pembinaan di negara ini yang dibuat di atas tanah bekas tapak pelupusan sampah seperti di Petaling Jaya dan Subang Jaya, Selangor.
Bagaimanapun, jelasnya lagi pembinaan tersebut memerlukan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mengetahui status tanah tersebut sebelum sebarang pembinaan dilakukan.
“Memang ada di negara ini, tetapi faktor-faktor risiko tersebut diambil kira termasuk berapa lama tanah itu menjadi tapak pelupusan sampah. Sebagai amalan lazim, ia memerlukan kelulusan PBT kerana status tanah itu mesti diketahui oleh pemaju.
“Kemudian pemaju perlu mengatasi risiko-risiko tersebut yang kos operasinya amat tinggi yang tidak perlu dibelanjakan sekiranya pembangunan dibuat di atas tanah lain,” ujarnya. – UTUSAN






