LIPIS: Helikopter Bell 206 L4 yang terhempas di Bentong Fruits Farm Hot Spring Campsite di Batu 9, jalan lama Kuala Lumpur-Bentong dekat sini semalam terlibat dengan kerja mengangkut bahan binaan bagi projek Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, helikopter yang didaftarkan di Indonesia itu melakukan enam penerbangan sejak 21 Januari lalu.
Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi ketika helikopter dikemudi oleh juruterbang warga Indonesia berusia 44 tahun sedia untuk mendarat bagi mengisi minyak di kawasan tersebut.
“Juruterbang menyatakan helikopter yang dikemudi turun untuk mengisi minyak dan semasa hampir sampai ke bawah, ia terbalik dan terbakar.
“Kejadian itu menyebabkan serpihan bilah kipas helikopter terkena seorang jurutera Indonesia berusia 27 tahun yang berada di bawah yang menunggu untuk mengisi minyak.
“Ketika kejadian hanya juruterbang berada di dalam helikopter dan ia tidak membawa bahan binaan,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Perasmian Kilang Peluru Automasi Tinggi Pertama Di Malaysia milik Ketech Asia Sdn. Bhd. (Ketech Asia), di sini semalam.
Beliau berkata, pihak Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.
Sementara itu, TNB mengarahkan pemberhentian kerja bagi penggunaan helikopter kedua yang turut terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan di tapak projeknya di kawasan ini.
“TNB akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan insiden ini. Kami juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, ” katanya dalam kenyataan semalam. – UTUSAN






