KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan mahu Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengekalkan waktu bekerja kakitangan kesihatan pada 42 jam seminggu seperti yang telah dilaksanakan selama ini.
Pengerusinya, Suhaizan Kaiat berkata, pihaknya bersetuju pandangan pelbagai pihak berkepentingan bahawa pada masa ini, beban kerja kakitangan KKM adalah tinggi selain perlu segera menambah bilangan kakitangan kesihatan sebagai penyelesaian jangka panjang.
“Perbandingan dengan penanda aras antarabangsa menunjukkan waktu bekerja sektor kesihatan yang dicadangkan adalah tidak wajar.
“Negara-negara maju seperti United Kingdom menetapkan 40 jam seminggu, Jepun 40 jam seminggu dan Australia 38 jam seminggu.
“Memandangkan Malaysia masih menghadapi isu kekurangan kakitangan kesihatan yang menyebabkan beban tugas lebih tinggi berbanding negara-negara tersebut, adalah tidak munasabah untuk menambah waktu bekerja melebihi penanda aras antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen di sini, semalam.
Terdahulu, Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan telah menjalankan tiga sesi libat urus bersama Persatuan Doktor Malaysia, Persatuan Jururawat dan Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia (PPPM) baru-baru ini bagi membincangkan beban kerja dalam kalangan kakitangan Kementerian Kesihatan.
Sebanyak 95.5 peratus daripada 28,373 jururawat tidak bersetuju dengan cadangan Kementerian Kesihatan untuk melaksanakan penambahan waktu kerja daripada 42 jam kepada 45 jam seminggu.
Mengulas lanjut, Suhaizan berkata, kakitangan KKM yang bekerja dalam sistem tiga syif menghadapi cabaran unik, antaranya hanya mendapat satu hari cuti seminggu, tiada elaun kerja malam, tiada waktu rehat khusus dan tiada hari cuti tetap.
Jelasnya, tambahan tiga jam seminggu berpotensi meningkatkan tekanan kerja, keletihan fizikal dan mental, serta risiko kecuaian dalam tugas.
“Pada masa sama, ia mengurangkan masa bersama keluarga dan meningkatkan risiko kemalangan semasa perjalanan ke tempat kerja.
“Tambahan waktu ini juga bermakna kehilangan 12 jam sebulan, sekali gus menjejaskan keseimbangan kerja dan kehidupan kakitangan kesihatan,” katanya.
Tambahnya, kekurangan doktor, pakar, jururawat dan penolong pegawai perubatan menambahkan beban tugas sedia ada.
“Sekiranya waktu kerja ditambah tanpa penyelesaian terhadap isu ini, lebih ramai tenaga kerja kesihatan dijangka berhijrah ke sektor swasta dan luar negara.
“Keadaan kerja yang semakin mencabar tanpa insentif setimpal boleh mengurangkan minat pelajar untuk menyertai bidang perubatan, seterusnya menyebabkan kekurangan tenaga profesional pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN






