JOHOR BAHRU: Gaji lumayan di Singapura menyebabkan lebih 900 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini tidak menduduki peperiksaan tersebut yang berakhir minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, perkara itu amat membimbangkan kerajaan negeri kerana akan menyebabkan masalah keciciran dalam pelajaran akan terus berlarutan.
Katanya, ibu bapa diminta memainkan peranan penting memastikan anak-anak menghabiskan pelajaran dengan kelulusan SPM.
“Walaupun jumlah itu menurun berbanding tahun lalu, ia masih membimbangkan. Cuma cabaran kita, Singapura tidak pakai SPM sebagai kelayakan untuk ambil pelajar kita bekerja.
“Justeru, pihak sekolah perlu sentiasa mengadakan sesi libat urus dengan ibu bapa dan pelajar supaya mereka diberi penekanan bahawa SPM itu penting yang menjadi penentu masa depan mereka,” katanya selepas merasmikan Program Bantuan Kasih Murid Johor di AEON Mall Tebrau, di sini.
Bulan lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, kira-kira 10,000 pelajar tidak hadir untuk peperiksaan SPM.
Aznan berkata, penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) mampu menjadi penyelamat untuk memastikan para pelajar yang keciciran ini menyambung pelajaran dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Sebab itu JTDC adalah platform untuk membantu anak-anak ini. Walaupun tak habis belajar, kita boleh hantar untuk menceburi bidang TVET dan kita ambil mereka bekerja dalam Johor.
“Jadi, tak ambil SPM bukan berakhirnya masa depan mereka, kita akan bantu masukkan mereka ke program-program TVET supaya mereka ini ada peluang dan ruang untuk terus ke depan,” katanya. – UTUSAN






