KUALA NERUS: Fenomena ombak besar setinggi 2.4 hingga 2.8 meter menyebabkan pemilik banglo berwarna biru bernilai RM600,000 di sini, kembali resah kerana sebahagian tanah berhampiran pagar rumahnya runtuh.
Mohd. Yazit Idris, 66, berkata, ombak besar berlaku selepas pukul 5 petang kelmarin dan berlarutan hingga 5 pagi semalam.
“Apabila bangun tidur, rasa lega tengok bahagian dapur masih selamat namun terkejut melihat tanah di bahagian pagar di halaman rumah pula yang runtuh.
“Saya difahamkan ombak besar berlaku untuk dua hari lagi, jadi saya mohon doa semua pihak untuk rumah ini dapat bertahan dalam berdepan situasi cemas ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung Batu Rakit di sini, semalam.
Menurutnya, bahagian dapur rumahnya yang sebelum ini seolah-olah ‘tergantung’ akibat hakisan ombak telah pun selamat apabila pembinaan benteng pemecah ombak siap kira-kira tiga minggu lalu.
“Anak syarikat kerajaan negeri ada menyumbang batu-batu besar untuk dibuat benteng itu sebagai langkah pencegahan sementara.
“Kemudian, saya gunakan wang sedekah kawan dan saudara-mara untuk beli sebanyak 33 lori tanah bagi menambak bahagian yang runtuh akibat hakisan.
“Setakat ini, bahagian belakang rumah agak kukuh namun tanah di tepi pagar pula yang menjadi kerisauan,” katanya.
Banglo tersebut tular dalam media sosial sejak Disember lalu kerana pembinaannya adalah tanda cinta kepada isteri, namun diancam hakisan dan berisiko runtuh pada bila-bila masa.
Kisah tersebut mendapat perhatian ramai rakyat Malaysia yang bersimpati dengan nasibnya dan berharap banglo cinta itu masih kekal untuk kenangan generasi seterusnya. – UTUSAN






