PUTRAJAYA: Stesen Radio Era dikenakan kompaun RM250,000 ekoran kontroversi tiga penyampai mereka yang terpalit dengan dakwaan menghina agama Hindu.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan lesen penyiaran Maestra Broadcast Sdn Bhd, pengendali stesen radio Era FM tidak akan digantung.
Kata MCMC, tindakan berkenaan dibuat berhubung kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kerana memuat naik kandungan jelik melampau.
Keputusan itu dibuat selepas meneliti rayuan syarikat berkenaan terhadap notis niat penggantungan lesen yang dikeluarkan pada 7 Mac lalu.
MCMC berkata, pertimbangan keputusan ini mengambil kira beberapa faktor, termasuk tindakan pembetulan yang telah diambil oleh syarikat.
“Ini termasuk permohonan maaf daripada pihak terbabit serta kesan penggantungan terhadap stesen radio lain yang beroperasi di bawah lesen sama iaitu Melody FM dan Mix FM.
“Walau bagaimanapun, Maestra Broadcast Sdn Bhd telah dikenakan kompaun sebanyak RM250,000, bagi kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan berkuat kuasa 11 Februari 2025), iaitu memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM.
“Kompaun tersebut dikeluarkan selepas menerima izin daripada Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sebelum ini media melaporkan, MCMC mengeluarkan Notis Niat Penggantungan Lesen kepada stesen radio itu susulan penyebaran video tular memaparkan penyampainya mempersenda upacara agama Hindu.
Perkara itu susulan Era FM mengundang kontroversi ekoran tindakan tiga penyampai mereka iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendy, terpalit dengan dakwaan menghina agama Hindu.
MCMC berkata, pemegang lesen diberi tempoh selama 30 hari untuk memberikan maklum balas terhadap notis tersebut sebelum pihaknya membuat sebarang keputusan.
Dalam pada itu, MCMC memandang serius sebarang tindakan memuat naik kandungan dalam talian yang boleh mengakibatkan ketegangan antara agama atau mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
“Semua pengendali dan pengguna platform diingatkan untuk sentiasa bertanggungjawab dalam memelihara keharmonian kaum dan agama di Malaysia serta mematuhi undang- undang negara,” katanya.-UTUSAN






