PETALING JAYA: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memanfatkan kawasan kediaman rasmi dengan menanam 1,000 benih bawang.
Mohamad yang lebih dikenali Mat Sabu atau Bang Mat berkata, kaedah yang digunakan ialah Raised Garden Box (Kotak Tanaman Terangkat) dengan keluasan 20 x 20.
Katanya, ia supaya tanaman lebih teratur dan mudah untuk diuruskan
“Sebelum ini, Bang Mat telah berkunjung ke Selangor Fruit Valley untuk melihat penanaman bawang rose Ehsan di kawasan seluas 25 ekar.
“Usaha ini selaras dengan komitmen kita bersama dalam memastikan keterjaminan makanan negara. Insya-Allah, semoga usaha ini membuahkan hasil yang bermanfaat,” kongsi Mohamad dalam Facebook beliau hari ini.
Beliau turut berkongsi gambar-gambar menerusi hantaran itu yang memaparkan menyemai benih.
Pada November lalu, media melaporkan, Projek Tanaman bawang rose Ehsan oleh PKPS di Selangor Fruit Valley berjaya mengeluarkan sebanyak 28 tan bawang merah kecil bagi fasa pertama tuaian.
Ia membabitkan tanah seluas 3.2 hektar.
Projek keseluruhan tanah seluas 10 hektar itu dibahagikan kepada tiga fasa masing-masing 3.2 hektar bagi fasa pertama serta masing-masing 3.6 hektar untuk fasa kedua dan ketiga.






