PETALING JAYA: Harapan rakyat Gaza untuk menyambut Syawal penuh kesyukuran terus musnah apabila rejim Zionis melanggar perjanjian gencatan senjata sehingga menyebabkan bumi Palestin terus menyaksikan pertumpahan darah.
Lebih menyedihkan, serangan tanpa henti ke atas kawasan penempatan, hospital dan kem pelarian sekali gus menjadikan Syawal satu lagi episod duka buat rakyat Gaza.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, sehingga kini, Gaza masih diserang Israel kerana mereka mengingkari perjanjian renjatan senjata.
Katanya, keadaan itu menyebabkan penduduk Gaza terpaksa menyambut Syawal dalam keadaan penuh ketidakpastian kerana terpaksa berpindah randah setelah beberapa kawasan diarahkan dikosong tanpa sebarang penjelasan atau jaminan keselamatan.
“Sudah pastinya mereka akan menyambut Syawal dengan titisan darah yang tidak berpenghujung dan ia bukan sesuatu yang lagi asing bagi rejim Zionis Israel.
“Tragedi ini pernah berulang pada tahun 2014, apabila serangan kejam dilancarkan sepanjang Ramadan dan berlanjutan hingga ke Syawal.
“Rejim Zionis tidak mengenal erti cuti atau menghormati perayaan orang lain sehingga menjadikan penderitaan rakyat Palestin berterusan tanpa henti.
Kesedihan ini pasti akan berlanjutan dan menenggelamkan kegembiraan Syawal dalam lautan air mata dan darah,” katanya kepada Nexbyte.
Sejak bulan lalu, Israel berulang kali mencabuli gencatan senjata, khususnya ketika Ramadan dan Syawal, menyebabkan penderitaan rakyat Gaza tidak pernah berakhir.
Pada 2014, peperangan yang berlarutan dari Ramadan hingga Syawal meragut lebih 2,200 nyawa, menjadikan perayaan yang sepatutnya penuh kegembiraan bertukar menjadi lautan darah.
Selain itu, rejim ini turut mencetuskan ketegangan dengan menyerbu Masjid Al-Aqsa hanya beberapa hari selepas Aidilfitri, meskipun gencatan senjata telah diumumkan.
Pada 2023, sekatan ke atas Gaza diperketat manakala serangan di Tebing Barat semakin meningkat ketika Syawal sehingga mengorbankan lebih ramai rakyat Palestin.
Kemuncak kekejaman rejim ini berlaku pada 2024 apabila Israel menolak gencatan senjata dan terus mengebom Gaza sewaktu umat Islam menyambut Syawal yang menyebabkan ramai kanak-kanak syahid dalam kegembiraan yang sepatutnya menjadi milik mereka. – UTUSAN






