KUALA LUMPUR: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung dakwaan penyampai stesen radio EraFM mempersendakan upacara agama menerusi media sosial.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, enam individu termasuk tiga penyampai radio EraFM selesai memberi keterangan di Bukit Aman, di sini semalam.
“Kita akan lengkapkan siasatan dan hantar ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya cecepat mungkin,” katanya kepada Nexbyte semalam.
Enam kakitangan stesen radio itu dilihat keluar dari pekarangan di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, di sini, selepas lebih dua jam dirakam keterangan berhubung siasatan kes terbabit.
Toyota Vellfire membawa tiga penyampai berkenaan iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendi Ahmad Aruani dilihat keluar pada 1.10 petang tanpa menyapa wartawan yang menunggu di luar sejak pagi.
Dipercayai tiga kakitangan lain yang turut dirakam keterangan menaiki kenderaan berasingan.
Razarudin berkata, proses rakaman keterangan dijalankan oleh pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) dan sehingga pagi semalam, sebanyak 44 laporan polis diterima berkaitan isu berkenaan.
Siasatan dijalankan selepas seorang jurutera membuat laporan polis ekoran video tular tiga juruhebah berkenaaan menyebut perkataan “vel vel” dan menari yang dikaitkan dengan Thaipusam. – UTUSAN




