KUALA LUMPUR: Kegiatan licik sindiket pengedaran dadah menjual ‘biskut ganja’ semurah RM90 sepeket secara dalam talian akhirnya tumpas apabila lapan individu termasuk dua wanita diberkas polis pada minggu lalu.
Sindiket yang dipercayai beroperasi sejak setahun lalu itu memperoleh bekalan ganja dari Thailand sebelum memproses dan membungkusnya dalam bentuk biskut untuk dijual secara atas talian.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, mereka diberkas dalam dua operasi berasingan dengan serbuan pertama dilakukan pada pukul 2.20 pagi, Rabu lalu di dua unit kediaman di Mont Kiara yang melibatkan penahanan lima lelaki dan dua wanita tempatan berusia 20 hingga 28 tahun.
“Polis menemukan tiga beg berisi ganja mampat seberat 32 kilogram (kg) dan biskut ganja seberat dua kg dalam serbuan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Menurut Rusdi, susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah residensi di Jalan Duta pada keesokan harinya dan menahan seorang lelaki tempatan di kawasan parkir sekitar pukul 2.10 petang.
“Hasil pemeriksaan dalam kenderaan suspek menemukan satu kotak berisi biskut ganja seberat tujuh kilogram. Keseluruhan rampasan bernilai RM105,000,” jelasnya.
Tambah Rusdi, ujian air kencing mendapati lima daripada suspek positif ganja manakala dua daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau.
Dalam operasi kedua pula, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur menyerbu sebuah pusat hiburan di Kepong Baru, Jumaat lalu dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun.
“Suspek dipercayai mula mengedar dadah sejak sebulan lalu dan menyembunyikan bekalan dalam almari premis berkenaan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” ujarnya.
Jelasnya, rampasan dalam serbuan itu melibatkan serbuk MDMA seberat 3.5 kg, 123 gram rokok ganja (112 batang), pil Erimin 5 (20 gram), ketamin (12 gram) dan pil ekstasi (11 gram), dengan nilai pasaran dianggarkan RM40,000. – UTUSAN






