PETALING JAYA: Sindiket pemalsuan dokumen mampu mengaut keuntungan hingga mencecah jutaan ringgit setahun dengan menghasilkan pasport dan pas lawatan kerja sementara (PLKS) palsu terhadap warga asing yang ingin bekerja di negara ini.
Keuntungan itu hasil kegiatan salah satu daripada beberapa sindiket yang dikesan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dengan mengenakan bayaran sebanyak RM100 hingga RM150 bagi setiap pasport malah mampu menghasilkan kira-kira 100 passport palsu dalam sehari.
Sindiket itu juga turut dikesan meminda maklumat warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah bagi mendapatkan kelulusan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema).
Mendedahkan kegiatan itu kepada Nexbyte, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Datuk Zakaria Shaaban berkata, terdapat sindiket dikesan menawarkan pasport negara-negara tertentu kepada warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan dengan menawarkan pasport tulen dengan meminda maklumat biodata baharu milik bakal pelanggan bagi memudahkan mereka memohon pemeriksaan kesihatan Fomema.
Katanya, sindiket mengenakan bayaran sebanyak RM200 bagi perkhidmatan ini termasuk urusan pemeriksaan di klinik-klinik tertentu.
“Malah, ada sindiket yang dikesan menawarkan pasport bagi mendapatkan dokumen Fomema dengan bayaran sebanyak RM100 hingga RM150 untuk setiap pasport.
“Aktiviti haram ini dipercayai mampu menghasilkan sebanyak 50 hingga 100 pasport sehari.
“Sindiket didapati cenderung untuk memalsukan pasport negara asing yang tersenarai sebagai negara-negara sumber pekerja asing seperti Bangladesh, Nepal, India dan Indonesia,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurutnya, sindiket menggunakan pasport tulen milik individu lain dengan tujuan meminda maklumat pada biodata serta keseluruhan dalaman pasport pada harga RM1,000 hingga RM1,500 untuk setiap satu pasport.
Jelas beliau, terdapat sindiket yang menggunakan maklumat palsu yang ada pada pasport tersebut untuk mendapatkan kelulusan Fomema dengan kos tambahan sebanyak RM600 hingga RM1,000 untuk setiap dokumen.
“Kebanyakan sindiket ini beroperasi di premis-premis perniagaan dan kondominium bagi mengaburi pihak kita selain dilengkapi mesin pencetak bagi menghasilkan dokumen palsu,” katanya.
Bagaimanapun, menurut beliau, sindiket pasport palsu semakin berkurangan apabila kebanyakan negara termasuk Malaysia kini ke arah penggunaan digital seperti e-pass dan ‘mobile passport reader’ yang mampu mengesan pemalsuan dokumen.
“Imigresen kini dibekalkan peralatan yang membolehkan kita memeriksa sama ada ia (dokumen) palsu atau sebaliknya jadi mereka yang ada dokumen palsu tidak akan terlepas.
“Ini terbukti apabila sebanyak 27 tangkapan setakat April lalu membabitkan sindiket pas palsu berbanding 221 tangkapan pada tahun lalu manakala bagi pemalsuan palsu sebanyak 57 tangkapan pada 2024,” katanya.
Menurut beliau, Jabatan Imigresen mencadangkan kepada kerajaan bagi penambahan peralatan berteknologi tinggi yang dilihat mampu memperkukuhkan penguatkuasaan jabatan terbabit untuk membanteras isu lambakan warga asing di negara ini.
“Penggunaan peralatan (mobile pasport reader) ini banyak membantu pegawai kita ketika operasi,” katanya. – UTUSAN





