KUANTAN: Kira-kira 80 peratus tandas di premis makanan dan stesen minyak di seluruh negara didapati kotor, berbau dan tidak diselenggara dengan baik untuk kegunaan pelanggan.
Menurut kajian Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) yang melibatkan lebih 2,000 tandas di restoran premis ber-kenaan termasuk di Sabah dan Sarawak, turut tidak tidak menyediakan sabun, air mencukupi dan peralatan asas kebersihan.
Presiden YPNM, Datuk Dr. Mohd. Firdaus Abdullah berkata, kebersihan tandas merupakan aspek penting melambangkan budaya masyarakat dan imej negara, namun malangnya masih ramai pengusaha premis makanan menganggap ia sebagai isu remeh.
“Tandas bukan sekadar perlu bersih, tetapi lengkap dengan kemudahan asas. Malangnya, ramai pengusaha abaikan perkara ini, menyebabkan pengguna terpaksa berdepan dengan tandas yang berbau, lantai becak serta peralatan rosak,” katanya kepada Nexbyte.
Menurutnya, pengabaian kebersihan itu bukan sahaja menyusahkan pengguna, tetapi turut mencemarkan imej negara, terutama di mata pelancong.
“Bayangkan pelancong asing masuk ke tandas yang kotor di restoran, apa tanggapan mereka terhadap rakyat Malaysia?.
“Kita perlu ambil serius soal ini kerana ia melibatkan maruah dan kesihatan pengguna,” katanya.
Mohd. Firdaus turut mencadangkan agar pengguna memboikot restoran atau stesen minyak yang gagal menyediakan tandas bersih sebagai bentuk tekanan kepada pengusaha premis.
YPNM turut mendesak pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan pemeriksaan berkala dan lebih ketat ke atas premis makanan untuk memastikan pematuhan terhadap piawaian kebersihan.
“Saya berharap kita boleh mencontohi standard tandas di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang kebanyakannya bersih dan dijaga rapi.
Tandas bukan ruang buangan semata, ia juga ruang kebersihan diri,” katanya.
Sementara itu, aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye menyokong kenyataan YPNM dan mengakui isu berkenaan dibangkitkan sejak dua dekad lalu tanpa ada penambahbaikan yang ketara.
Katanya, beliau menerima banyak aduan berkaitan tandas kotor, termasuk di restoran besar dan pusat beli-belah yang mengenakan caj tetapi gagal memberi perkhidmatan setimpal.
“Perkara ini berkait rapat dengan penyelenggaraan dan budaya kebersihan. Sudah tiba masanya masyarakat dan pengusaha premis berubah.
Tandas kotor bukan sahaja menyakitkan mata, malah membahayakan kesihatan,” katanya.
Beliau menegaskan, sikap ambil mudah terhadap kebersihan tandas mencerminkan mentaliti kelas ketiga walaupun negara memiliki infrastruktur moden.
Isu tandas kotor ini turut mendapat perhatian Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang pada Februari tahun lalu memberi peringatan kepada semua premis makanan dan minuman (F&B) supaya mengekalkan standard kebersihan tandas BMW (Bersih, Menawan dan Wangi).
Menurutnya, jika syarat itu tidak dipenuhi, permohonan pembaharuan lesen premis boleh ditolak. Ketetapan itu telah diluluskan dalam mesyuarat Kabinet pada 2 Februari 2024 dan dikuatkuasakan tahun ini.
Semua premis F&B termasuk warung, restoran dan hotel kini diwajibkan memiliki persijilan bertaraf A bagi kebersihan tandas sebagai syarat operasi perniagaan di kawasan bandar raya seluruh negara.
Dengan pemantauan berterusan oleh PBT serta kesedaran pengguna dan pengusaha, budaya kebersihan tandas negara diharapkan dapat dipertingkat dan setanding dengan negara maju.
Seorang pengguna, Ainiza, 30, meluahkan rasa kecewa dengan tahap kebersihan tandas di restoran yang menyebabkannya hilang selera makan.
“Bayangkan kita makan di restoran cantik, tetapi tandas kotor dan berbau busuk. Ini menyebabkan saya cuba elak guna tandas di restoran. Kalau terpaksa, saya tunggu sampai di rumah atau cari tandas di tempat lain,” katanya. – UTUSAN






