BUTTERWORTH: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kejadian enam pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Jelebu, Negeri Sembilan yang melarikan diri pada Selasa lalu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, lima daripada pelatih itu telah berjaya ditahan ketika ini manakala seorang lagi masih dikesan.
“Siasatan dalaman sedang dibuat oleh AADK untuk melihat daripada pelbagai sudut dan aspek apakah penyebab perkara ini berlaku.
“Jadi, kita tunggu siasatan dalaman dibuat dan berdasarkan laporan yang diperoleh nanti, sudah tentu kita akan ambil tindakan berkaitan untuk menyelesaikan permasalahan ini. Siasatan ini turut dijalankan dengan kerjasama AADK Daerah Jelebu,” katanya selepas menghadiri Program Libat Urus bersama AADK dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Pulau Pinang di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, polis menerima maklumat enam pelatih Puspen tersebut melarikan diri kira-kira pukul 1 pagi pada hari kejadian.
Operasi mengesan serta menangkap pelatih kemudian dilancarkan termasuk menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Anggota Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) Jelebu. – UTUSAN






