SHAH ALAM: Bekalan tanaman dan ternakan di seluruh negara masih terkawal susulan fenomena cuaca panas serta kering yang melanda negara ketika ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya setakat ini tiada menerima aduan atau maklumat mengenai isu bekalan yang terjejas teruk, sebaliknya hanya melibatkan kes terpencil dan tidak secara menyeluruh.
“Aduan itu memang ada tetapi kecil dan ia kerana faktor cuaca sama ada ketika kemarau atau banjir.
“Setakat ini, kita mendapati tidak banyak (bekalan) yang terjejas dan keadaan masih lagi terkawal,” katanya selepas merasmikan program Karnival Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kementerian itu di Seksyen 32 di sini, hari ini.
Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) sebelum ini melaporkan Monsun Barat Daya bermula 10 Mei lalu dijangka berlarutan sehingga September depan, lazimnya menyebabkan kelembapan udara rendah dan kurang kadar hujan di kebanyakan tempat.
Kapasiti air di tujuh empangan di Selangor juga masih pada tahap baik iaitu melebihi 95 peratus dengan jangka hayat dianggarkan antara tiga hingga enam bulan.
Dalam perkara berasingan, kata Mohamad, buah kelapa turut berpotensi menjadi penyumbang besar ekonomi negara seperti nanas.
“Sebagai contoh, kelapa muda ketika ini boleh dieksport ke luar negara terutama China yang mendapat permintaan tinggi. Bekalan kelapa tua pula kini giat ditanam terutama di Sabah. Buah itu dilihat mampu mencatat nilai jualan luar biasa seperti nenas yang melebihi RM1 bilion,” katanya. – UTUSAN






