ALOR SETAR: Dua sayap UMNO di Kedah mengingatkan kerajaan agar tidak menyalahkan rakyat yang mungkin hilang keyakinan ekoran isu Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang meninggalkan parti itu untuk menyertai PKR.
Ketua Pemuda UMNO Kedah, Mohd. Raqib Abu Hassan berkata, pihaknya tidak hanya akan menjadi penonton dalam permainan kuasa yang melanggar adab dan prinsip.
Katanya, UMNO juga tidak akan diizinkan untuk dipermain oleh mereka yang hanya tahu menerima tetapi tidak pernah benar-benar berjuang.
“Tengku Zafrul bukan hanya meninggalkan parti, tetapi menggadai maruah diri sebagai seorang pemimpin yang sepatutnya berpegang pada kesetiaan dan adab berpolitik.
“Seperti tetamu yang dijemput duduk di meja utama, dijamu dengan penuh hormat namun pergi meninggalkan tuan rumah sambil membawa sekali apa yang bukan miliknya.
“Jika budaya lompat parti seperti ini mula diraikan maka jangan salahkan rakyat jika hilang keyakinan terhadap kestabilan kerajaan yang kita bina bersama,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mohd. Raqib berkata, pihaknya mendesak PKR agar tidak menerima kemasukan Tengku Zafrul yang bukan kerana dengki, jauh sekali disebabkan emosi tetapi menghormati sempadan dan kepercayaan antara parti.
“Jika semua rakan gabungan boleh menerima mana-mana individu yang mengkhianati parti sendiri tanpa perbincangan dan pertimbangan politik bersama maka apakah nilai lagi kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan?
“Tengku Zafrul perlu sedar keputusan ini adalah langkah do or die buatnya. Beliau bukan dibina oleh akar umbi tetapi diangkat, dipertahankan dan diberi pentas atas dasar strategi parti. Hari ini, beliau mempertaruhkan segala yang tinggal demi satu percaturan yang belum tentu menjanjikan penghormatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Kedah, Nuraini Yusoff berkata, bukan sahaja kecewa dengan tindakan Tengku Zafrul tetapi lebih teruk apabila pemimpin PKR seolah-olah meraikan tindakan itu tanpa memikirkan adab dan semangat setiakawan dalam Kerajaan Perpaduan.
Katanya, beliau percaya PKR mampu mempertimbang dengan waras implikasi penyertaan Tengku Zafrul ke dalam parti mereka kerana ia bukan sahaja mencalarkan semangat Kerajaan Perpaduan, tetapi memberi gambaran seolah-olah prinsip boleh dikompromi demi strategi politik jangka pendek.
“Dalam sebuah gabungan yang dibina atas dasar persefahaman, adab dalam kerjasama politik sangat penting untuk dijaga. Drama demi drama yang dicetuskan hanya akan menghakis keyakinan rakyat, terutamanya anak muda terhadap keseriusan kita menjaga kestabilan kerajaan.
“Jangan sampai tindakan ini memberi mesej salah sehingga menyebabkan rakyat memilih untuk menghukum Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti,” katanya. – UTUSAN






