PUTRAJAYA: Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ditugaskan untuk melakukan beberapa tindakan susulan berhubung pengumuman Pihak Berkuasa Tanah Singapura (SLA) tentang pengambilan dua bidang tanah milik kerajaan Malaysia bagi tujuan pembangunan semula dan peluasan Kompleks Kastam dan Imigresen Woodlands.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu ada dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
“Jemaah Menteri ada membincangkan tentang hal ini dan Menteri Kewangan II telah ditugaskan untuk melakukan beberapa tindakan susulan.
“Maklumat lanjut boleh rujuk dengan Menteri Kewangan II,” katanya dalam sidang akhbar mingguan pasca Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Menurut laporan portal CNA, dua lot tanah tersebut, yang berkeluasan keseluruhan 0.79 hektar sedikit lebih besar daripada saiz padang bola sepak kini tidak dibangunkan dan dilitupi tumbuh-tumbuhan.
Dalam kenyataan bersama oleh SLA dan Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), pihak berkuasa Singapura memaklumkan, mereka akan bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia sepanjang proses pengambilan tanah tersebut.
Kedua-dua bidang tanah ini terletak di kawasan tengah pelan pembangunan semula yang dirancang dan merupakan sebahagian daripada fasa awal peluasan Woodlands Checkpoint yang dijadualkan berlaku dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang. – UTUSAN






