KUALA LUMPUR: Seorang pesara kerajaan, Nur Zamilah Buang, 58, berdepan tekanan emosi selepas wang persaraan sebanyak RM33,000 hangus dipercayai ditipu sebuah agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah melalui TikTok.
Lebih memilukan, seramai 18 ahli keluarganya turut menjadi mangsa, menyebabkan jumlah kerugian keseluruhan mencecah RM89,000.
“Kami berjimat sejak bertahun demi ibadah ini. Apabila tahu ditipu, saya tidak bercakap dengan suami selama empat hari malah dia kerap termenung, dan hilang selera makan,” katanya dalam sidang akhbar bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), semalam.
Menurutnya, mereka sepatutnya berangkat ke Tanah Suci pada 25 Februari lalu namun syarikat terbabit menunda penerbangan tanpa alasan munasabah dan gagal memaklumkan tarikh baharu.
“Kami percaya kerana syarikat itu didaftarkan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Tetapi sampai sekarang, mereka senyap,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Sulaiman, turut kerugian RM21,500 selepas membayar penuh untuk menunaikan umrah bersama keluarganya.
“Isteri saya tertarik dengan iklan di TikTok. Ada duta artis dan harga murah. Tetapi akhirnya kami tertipu,” katanya.
Setakat ini, seramai 90 mangsa tampil membuat aduan kepada MHO dengan jumlah kerugian keseluruhan mencecah RM506,559.10.
Mangsa mendakwa, selepas membuat bayaran penuh, mereka diberikan jadual penerbangan namun tarikh berkenaan ditunda berulang kali sebelum pihak syarikat menghilangkan diri.
Lebih 30 laporan polis telah dibuat, tetapi sebahagiannya diklasifikasikan sebagai “Rujuk Lain Agensi” (RLA) dan disalurkan kepada MOTAC, yang hanya berkuasa membatalkan lesen syarikat.
Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim menegaskan, kes sepatutnya diklasifikasikan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana terdapat unsur penipuan.
“Jika hanya batal lesen, bagaimana nasib wang jemaah? Ini bukan isu perniagaan semata-mata, ini soal ibadah,” katanya.
Tambah beliau, pelaku utama pernah menyatakan hasrat mahu memulangkan wang jemaah namun sehingga kini tiada tindakan lanjut diambil manakala syarikat tersebut memilih untuk berdiam diri. – UTUSAN






