PETALING JAYA: Keputusan kerajaan mengenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas buah-buahan import membebankan golongan B40 dan M40.
Presiden Parti Gerakan Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, keputusan itu dipersoalkan terutama apabila pengecualian cukai masih diberikan kepada kenderaan elektrik tulen yang kebanyakannya dibeli golongan berkemampuan.
Katanya, kerajaan seolah-olah mengambil daripada golongan miskin untuk memberi kepada golongan kaya dan pendekatan ini sangat tidak beretika dan mengetepikan tekanan hidup rakyat biasa.
“Kerajaan sebelum ini menolak pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana membebankan rakyat dan perniagaan, namun peluasan SST, perlahan-lahan menyerap masuk dalam kehidupan harian rakyat ibarat ‘memotong pokok besar dengan pisau kecil.
“Saya menyambut baik kenyataan Perdana Menteri yang mahu kerajaan menjelaskan pelaksanaan SST kepada rakyat, bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat, terutama melibatkan buah-buahan import.
“Namun perlu tahu bezakan antara buah-buahan mewah seperti avokado dengan buahbuahan popular seperti oren dan
epal yang dibeli pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Katanya, jika kerajaan inginmengenakan cukai ke atas avokado tidak menjadi masalah, tetapi buah-buahan yang diambil secara meluas oleh rakyat tidak sepatutnya dikenakan SST.
Kerajaan perlu bersikap realistik dalam pemberian pengecualian cukai terhadap kenderaan elektrik (EV), meskipun memahami keperluan menarik pelaburan dalam industri automotif dan merancakkan peluang pekerjaann.
“Berapa ramai keluarga berpendapatan rendah dan sederhana mampu beli EV kerana realitinya, mereka tetap perlu bayar lebih untuk barangan asas seperti buahbuahan hanya kerana kerajaan mahu menambah hasil negara,” katanya.
Katanya, rundingan lebih awal bersama pihak industri dan berkepentingan perlu dilakukan sebelum memperluas skop cukai.
Malangnya, sekali lagi keputusan dibuat secara tergesa-gesa demi memperindah angka hasil negara, sedangkan ia memberi kesan langsung kepada rakyat biasa.
“Pendekatan ‘satu penyelesaian untuk semua’ akhirnya merugikan golongan majoriti,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN






