PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan tidak perlu gentar atau menghalang penganjuran Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung esok kerana ia tidak akan menggugat kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahupun kestabilan pentadbiran sedia ada.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, perhimpunan tersebut tidak seharusnya menjadi isu memandangkan sikap terbuka dan matang yang ditunjukkan kerajaan membuktikan pentadbiran hari ini jauh lebih progresif berbanding era lampau.
“Saya tidak nampak apa-apa masalah besar mengenai himpunan ini. Mengadakan perhimpunan secara aman adalah hak rakyat yang dijamin Perlembagaan.
“Kita harus tonjolkan bahawa Kerajaan Madani meraikan kebebasan bersuara selagi ia tidak mencetuskan kekacauan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Faezuddin berkata, ketakutan pembangkang terhadap kejayaan yang dicapai kerajaan merupakan antara punca utama mereka menganjurkan perhimpunan tersebut.
Beliau berkata, kerajaan telah menunjukkan prestasi memberangsangkan termasuk penurunan kadar inflasi kepada 1.1 peratus, peningkatan rizab negara kepada AS$120 bilion serta penurunan kadar pengangguran kepada 3.1 peratus.
“Gaji penjawat awam juga telah dinaikkan sehingga 42 peratus, manakala gaji minimum kini ditetapkan pada RM1,700. Bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Bantuan Pendapatan Asas (BPA) terus disalurkan kepada rakyat.
“Malah, kelmarin Perdana Menteri mengumumkan penurunan harga minyak RON95 kepada RM1.99 seliter. Ini bukan retorik, ini adalah fakta,” katanya.
Katanya, apa yang lebih penting ialah Perdana Menteri tidak menyeleweng atau menyalahgunakan wang rakyat demi kepentingan peribadi.
“Dengan pencapaian cemerlang ini, tidak ada sebab untuk Perdana Menteri diturunkan.
“Selagi himpunan berlangsung secara aman, tidak melampau, tidak ganas dan tidak menyebarkan fitnah, maka tidak wujud keperluan untuk pihak berkuasa bertindak secara keras,” katanya. – UTUSAN






