PETALING JAYA: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) tidak menyediakan khidmat guaman kepada mangsa atau waris nahas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sebaliknya berperanan sebagai pemudahcara antara pihak terlibat dengan syarikat insurans.
APAD berkata, syarikat insurans terlibat telah menubuhkan pasukan khas bagi menyelaras dan menguruskan tuntutan mangsa dalam kemalangan tersebut.
“Syarikat insurans akan berurusan secara terus dengan mangsa atau waris bagi tujuan pengumpulan dokumen-dokumen yang diperlukan.
“APAD pula akan memantau perkembangan tuntutan itu sehingga bayaran selesai dijelaskan kepada mangsa atau waris,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, APAD dilaporkan berkata, semua mangsa dan waris pelajar UPSI yang terbabit dalam kemalangan bas di Jalan Jeli-Gerik, Perak pada 9 Jun lalu diminta agar menghubungi agensi itu bagi membantu proses tuntutan insurans.
Berdasarkan rekod, seramai 37 waris mangsa dikenal pasti menetap di Terengganu, empat di Kelantan dan masing-masing seorang di Kuala Lumpur dan Johor.
“Kerjasama daripada mana-mana mangsa atau waris amat dihargai. Mereka diminta menghubungi pegawai APAD, Ameera Mohd Ali di talian 03-2603 6763 atau melalui emel [email protected] bagi tujuan penyelarasan tuntutan insurans,” katanya.
Minggu lalu, akhbar ini melaporkan sekumpulan pelajar UPSI yang terlibat dalam kemalangan itu sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pemandu dan syarikat bas berkenaan. – UTUSAN






