PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima sebanyak 1,744 aduan berkaitan pokok melalui Sistem Pengaduan Awam Kuala Lumpur (ADU@KL) bermula pada 1 Januari lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, statistik pokok sekah adalah sebanyak 355 batang manakala pokok tumbang pula sebanyak 348 batang melibatkan 11 Parlimen.
Kata beliau, DBKL turut melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan cantasan sebanyak 31,815 batang manakala 7,453 batang pokok sudah ditebang.
“DBKL juga telah melaksanakan penilaian pokok berisiko di mana 160 batang pokok telah diperiksa. Lanjutan daripada penilaian tersebut sebanyak 142 batang pokok perlu dicantas dan 18 batang pokok ditebang,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen Malaysia, hari ini.
Dr. Zaliha berkata demikian bagi menjawab soalan dari Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang memintanya untuk menyatakan tempoh masa tindak balas DBKL terhadap aduan berkaitan pokok berisiko tumbang.
Mengulas lanjut, beliau berkata, DBKL melalui pasukan Task Force Pengurusan Pokok Tuduhan sudah mewujudkan Pelan Strategik Pengurusan Risiko Pokok Teduhan Kuala Lumpur 2024-2030.
“Ia merangkumi tujuh objektif, 15 strategi dan 23 pelan tindakan yang perlu dilaksanakan bagi menambah baik pengurusan pokok ameniti DBKL serta pokok yang berada di tanah bukan milik Datuk Bandar,” katanya. – UTUSAN






