PETALING JAYA: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menasihatkan penganjur majlis selawat dan zikir agar menerapkan Maqasid al-Tadayyun iaitu mengaplikasi nilai agama dalam kehidupan.
Katanya, majlis selawat dan zikir yang dianjurkan perlu menepati empat garis panduan agar program yang dijalankan selari dengan hukum syarak.
Antaranya, pihak penganjur perlu memastikan tidak berlakunya percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah.
“Majlis selawat dan zikir yang bercampur antara lelaki dan wanita yang bukan mahram adalah dilarang oleh Islam,” katanya dalam Bayan Linnas hari ini.
Sebelum ini, tular satu video pendek yang mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat susulan penganjuran satu majlis berselawat baru-baru ini.
Seterusnya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mencadangkan agar majlis yang dijalankan tidak melibatkan perkara yang diharamkan syarak dan boleh mendatangkan fitnah terhadap agama.
“Syeikh Yusuf al-Qardawi menetapkan bahawa hiburan dan nyanyian secara asasnya adalah diharuskan dengan syarat tidak disertakan dengan perkara yang boleh membawa kepada perbuatan dosa,” katanya.
Selain itu, pihak penganjur disarankan untuk memilih tempat yang sesuai dan mendapat kebenaran daripada pihak berautoriti agar tidak mengganggu ketenteraman awam
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, majlis atau amalan berzikir yang dilakukan di tempat ibadah seperti surau atau masjid yang mengganggu urusan ibadah orang lain adalah bertentangan dengan syariat Islam.
“Majlis zikir dan selawat seharusnya berlangsung dalam suasana tawaduk, tenang dan mendamaikan bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT serta mengharapkan keredaannya,” katanya.-UTUSAN



