KUALA LUMPUR: Ketegangan perdagangan global khususnya cadangan kenaikan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) sehingga 25 peratus ke atas beberapa produk import dijangka memberi tekanan kepada kedudukan ringgit Malaysia di pasaran antarabangsa.
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, langkah itu secara praktikalnya akan memberi kesan langsung kepada permintaan eksport Malaysia ke pasaran AS yang merupakan antara rakan dagang utama negara ini.
Katanya, sebarang pengurangan terhadap eksport Malaysia akibat kenaikan tarif tersebut boleh mengakibatkan permintaan terhadap ringgit berkurangan sekali gus menjejaskan kestabilan mata wang negara.
“AS merupakan antara negara dagangan utama Malaysia dengan nilai dagangan mencecah ratusan bilion ringgit. Apabila permintaan terhadap eksport menurun, pembelian oleh pihak AS ke atas produk Malaysia juga berkurang.
“Keadaan ini memberi kesan kepada permintaan ringgit dan seterusnya boleh menggugat keutuhan kedudukan mata wang negara di peringkat antarabangsa,” katanya kepada Nexbyte.
Semalam, akhbar ini melaporkan, kedudukan ringgit Malaysia dalam kelompok 20 mata wang paling berpengaruh di dunia mencerminkan asas ekonomi negara stabil serta keyakinan pelabur terhadap prospek jangka panjang Malaysia.
Menurut Bashir, kekuatan ringgit yang stabil sangat penting kerana ia mencerminkan keupayaan negara dalam sektor perdagangan global sekali gus memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Mata wang yang kukuh akan meningkatkan kuasa membeli rakyat khususnya bagi sektor perniagaan yang banyak bergantung kepada bahan mentah atau separuh siap dari luar negara. Ini menyumbang kepada pemenuhan permintaan ekonomi domestik.
“Selain itu, ringgit yang kukuh juga membolehkan rakyat mendapat akses kepada mutu pendidikan, teknologi kesihatan dan peluang pelaburan yang lebih baik yang akhirnya membawa kesejahteraan kepada negara,” katanya.
Beliau berkata, kekuatan mata wang turut membantu negara menguruskan akaun imbangan pembayaran dengan lebih baik.
Katanya, kestabilan ringgit dalam jangka masa panjang akan menyumbang kepada pengurangan defisit akaun imbangan bayaran antarabangsa serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
“Mata wang yang stabil akan membantu dalam menarik pelaburan asing dan mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman luar. Secara tidak langsung, ini juga akan memperkukuh kedudukan kewangan kerajaan dan memperluas ruang untuk kebajikan rakyat,” katanya.
Mengulas mengenai peranan kadar dasar semalaman (OPR) dalam mengukuhkan nilai ringgit, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, kadar tersebut adalah antara alat dasar monetari utama yang digunakan Bank Negara Malaysia.
Katanya, OPR memberi kesan bukan sahaja kepada ekonomi domestik tetapi juga terhadap nilai ringgit melalui kawalan terhadap kadar faedah, perbelanjaan dan pelaburan dalam negara.
“Kenaikan OPR akan meningkatkan kos pinjaman, namun dalam masa sama, ia membantu mengawal inflasi dan menarik aliran masuk modal asing kerana pulangan pelaburan menjadi lebih menarik. Ini akan mengukuhkan ringgit.
“Sebaliknya, OPR yang rendah boleh menyebabkan pelabur memindahkan dana mereka ke pasaran lain, sekali gus memberi tekanan kepada nilai ringgit,” katanya.
Mohamad Idham berkata, penurunan OPR juga memberi kesan langsung terhadap prestasi dana seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Public Mutual yang mempunyai pendedahan kepada pasaran bon serta instrumen pendapatan tetap.
“Pulangan daripada simpanan tetap dan sekuriti kerajaan lazimnya menjadi lebih rendah apabila OPR diturunkan. Ini boleh mengurangkan dividen atau pulangan keseluruhan yang diagihkan oleh dana-dana tersebut.
“Namun begitu, dalam masa sama, ia juga boleh merangsang pasaran saham melalui peningkatan kecairan dan keyakinan pelabur,” katanya. – UTUSAN






