SUBANG JAYA: Kerajaan giat mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) bagi memastikan Malaysia dapat menikmati kadar tarif yang lebih rendah supaya kekal berdaya saing dalam pasaran global.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, rundingan itu masih berjalan dan kerajaan belum membuat sebarang kesimpulan berhubung dakwaan bahawa Malaysia telah dikenakan tarif lebih tinggi oleh negara kuasa besar itu.
Katanya, proses rundingan itu menunjukkan kerajaan sedang bekerjasama rapat dan komited dalam mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan kepentingan negara terpelihara.
“Kita masih dalam fasa rundingan, jadi terlalu awal untuk kita buat kesimpulan bahawa kita dikenakan tarif lebih tinggi. Rundingan masih berjalan dan hampir setiap minggu kita bincangkan perkara ini dalam mesyuarat Kabinet bagi memantau perkembangannya.
“Sudah tentu kita berharap akan ada hasil yang positif supaya kita dapat merundingkan tarif yang lebih rendah untuk Malaysia. Ini bukan isu yang hanya melibatkan Malaysia malah seluruh rantau Asia, Eropah dan Amerika Latin turut berdepan cabaran sama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Maritim Malaysia 2025 di sini hari ini.
Mengulas mengenai persediaan industri menghadapi kenaikan tarif, Anthony berkata, pihak industri peka dengan usaha kerajaan dan memberi perhatian terhadap perkembangan rundingan tersebut.
Katanya, perkara itu perlu dilaksanakan melalui rundingan antara kerajaan dan kerajaan komited untuk mendapatkan hasil yang terbaik sebelum 1 Ogos.
“Saya percaya industri sedang memerhati dengan teliti usaha kerajaan dalam hal ini. Ini merupakan perkara yang perlu dimulakan melalui rundingan antara kerajaan. Kita berharap sebelum 1 Ogos, akan ada perkembangan yang positif,” katanya.-UTUSAN






