MELAKA: Pasukan dari Bumi Kenyalang, Machan FC lebih bersedia untuk mengharungi cabaran Liga A1-Semi Pro musim 2025/2026 selepas terpaksa menarik diri ketika pertengahan musim lalu berikutan masalah kewangan yang dihadapi.
Pengurus pasukan, Mohd. Fairuz Azwad Mohd. Zauwawi berkata, di bawah penajaan baharu pasukan itu dirombak termasuk barisan pemain dan pengurusan serta menjadikan Stadium Hang Tuah sebagai gelanggang utama.
Katanya, hanya tiga pemain musim lalu dikekalkan, seterusnya membariskan ramai pemain baharu khususnya daripada skuad remaja Melaka termasuk tiga pemain import iaitu dua dari Korea dan seorang dari Brazil.
“Penampilan Machan FC kali ini jauh berbeza berbanding musim lalu yang kini lebih tersusun dengan pengurusan baharu serta pemain muda berkaliber menjadi sandaran kali ini.
“Biarpun cabaran Liga A1 kali ini lebih mencabar kerana ada pasukan elit iaitu Kedah, Kelantan Red Warriors dan Perak serta JDT2 serta Selangor 2, kita akan cuba beri saingan untuk mencatat kemenangan demi kemenangan.
“Kami meletakan satu sasaran untuk layak ke Liga Super musim depan dan kita cuba mencapai kedudukan terbaik dalam liga yang akan bermula Ahad ini,” katanya selepas sesi memperkenalkan barisan baharu Machan FC di Bukit Piatu di sini, hari ini.
Mohd. Fairuz Azwad berkata, kehadiran tiga import iaitu Jonghyun Kim dari kelab Busan Dong Eui, Seungwon Jung dari Seoul Gangseo FC dan penyerang Brazil, John Kennedy Xavier Da Costa mewakili kelab Deportivo mampu memperkukuhkan pasukannya.
Katanya, mereka akan cuba memperbaiki kedudukan berada di tangga ke-13 daripada 15 pasukan musim lalu. – UTUSAN





