KUALA LUMPUR: Kerajaan masih menanggung kos rawatan pesara Persekutuan dan pesakit kurang mampu yang dirujuk ke Institut Jantung Negara Sdn. Bhd. (IJNSB) bagi mendapatkan rawatan yang tidak disediakan di hospital kerajaan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, permohonan perbelanjaan rawatan di IJNSB boleh dipertimbangkan tertakluk kepada syarat pesakit telah terlebih dahulu mendapatkan rawatan di hospital kerajaan dan dirujuk oleh pakar perubatan umum, pakar kardiologi atau pakar perubatan kecemasan kepada IJNSB.
“Bagi kes kecemasan melibatkan pesara Persekutuan dan kakitangan kerajaan, pesakit boleh mendapatkan rawatan di hospital swasta termasuk IJNSB, tertakluk kepada syarat serta tatacara yang ditetapkan dalam pekeliling perkhidmatan yang sedang berkuat kuasa.
“Bagi pesakit kurang mampu pula, kelulusan subsidi kerajaan tertakluk kepada penilaian sosio ekonomi oleh pegawai kerja sosial perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang ingin mengetahui sama ada IJNSB masih mempunyai Tabung Kebajikan untuk membantu pesakit miskin kerana difahamkan tabung tersebut telah dimansuhkan serta sebab kerajaan tidak lagi membiayai rawatan pesara kerajaan di IJN.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, terdapat tiga kategori pesakit tanggungan kerajaan Persekutuan yang mendapat rawatan di IJNSB iaitu pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan, pesara Perkhidmatan Awam Persekutuan dan pesakit kurang mampu.
“Rekod menunjukkan seramai 44,257 pesakit tanggungan kerajaan mendapatkan rawatan di IJNSB pada tahun 2024. Daripada jumlah itu, 26,782 merupakan pesara, 16,303 pegawai kerajaan dan 1,172 merupakan pesakit kurang mampu.
“Jumlah keseluruhan kos rawatan yang ditanggung kerajaan bagi tahun ini adalah sebanyak RM595 juta yang merangkumi RM358 juta untuk pesara, RM200 juta bagi kakitangan kerajaan dan RM37 juta bagi pesakit kurang mampu,” katanya.-UTUSAN






