KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) telah memuktamadkan Panduan Perancangan Pembangunan Sekolah Secara Menegak dan akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, panduan tersebut dirangka bagi memastikan pelaksanaan konsep sekolah menegak mengambil kira pelbagai aspek penting termasuk keselamatan, keselesaan, dan kesejahteraan murid.
Katnya, ia menggariskan prinsip reka bentuk utama untuk sekolah termasuk sifat semula jadi, individualisme, daya tarikan dan kebolehcapaian.
“Panduan ini menyenaraikan prinsip asas dalam mereka bentuk sesebuah sekolah menegak merangkumi elemen seperti penggunaan pencahayaan semula jadi dan kawalan akustik.
“Ia juga mengambil kira reka bentuk mesra akses, keselamatan pergerakan menegak, penyediaan kemudahan sukan serta ruang rekreasi,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Muslimin Yahaya (PN–Sungai Besar) yang membangkitkan isu keperluan membina sekolah bertingkat ekoran pertambahan bilangan pelajar dan kekangan tanah di kawasan bandar serta jaminan dari segi keselamatan dan keselesaan pelajar dalam model sekolah berkenaan.
Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, KPM memberi perhatian terhadap tiga aspek utama dalam perancangan sekolah menegak iaitu aspek berkaitan murid, teknikal dan pengurusan.
“Bagi aspek murid, kita beri tumpuan kepada keselamatan pergerakan menegak, akses untuk murid berkeperluan khas, kesejahteraan emosi dan sosial serta ruang rekreasi
“Aspek teknikal pula melibatkan keperluan akustik, pencahayaan semula jadi, laluan kecemasan, struktur bangunan serta penyelenggaraan.
“Bagi pengurusan, kita perlu pertimbangkan isu berkaitan strata khususnya bagi model-model sekolah bertingkat yang lebih kompleks,” jelasnya.
Tambah beliau, panduan ini menjadi rujukan utama kepada semua pihak yang terlibat dalam pembinaan dan pengurusan sekolah bertingkat bagi menjamin persekitaran pembelajaran yang selamat, kondusif dan berkesan. – UTUSAN






