PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mengingatkan ahli parti itu supaya tidak terlalu ghairah ingin menjatuhkannya dan rakan beliau yang lain kerana ia tidak akan membawa keuntungan pada kerajaan.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, terdapat desakan supaya beliau dan lapan lagi ahli Parlimen PKR yang memulakan syor penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai badan kehakiman digantung.
Menurut Rafizi, beliau memerhati tindakan ketua-ketua cabang PKR di seluruh negara yang berlumba-lumba mengeluarkan kenyataan media supaya beliau dan rakannya digantung.
Katanya, bukan beliau sahaja yang memerharti tetapi anggota parti biasa dan rakyat turut sedang memerhati tindakan ketua-ketua cabang PKR itu.
“Nasihat saya, kalau main catur atau main dam haji, sebelum ghairah nak makan lawan, tengok dulu aturan dekat sebelah kita. Menggantung sembilan orang ahli parlimen menyebabkan PKR tinggal 22 kerusi, lebih sedikit dari DAP, Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak.
“Menggantung kami juga tidak menyelesaikan masalah kerana kami dibayar gaji oleh rakyat untuk bersuara bagi pihak mereka, jadi kami akan terus bersuara,” katanya menerusi sebuah klip video berdurasi 2.36 minit di media sosial.
Selain Rafizi, sembilan wakil rakyat PKR itu termasuk Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.
Selain itu, dua lagi ahli Parlimen PKR yang tidak hadir pada sidang media itu namun menyokong pendirian berhubung reformasi institusi kehakiman itu ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar.
Sidang akhbar yang berlangsung pada 7 Julai lalu itu menuntut prosiding dan siasatan dijalankan Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia dan Hal Ehwal Perlembagaan berhubung isu reformasi institusi dan ketua hakim negara.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, cadangan untuk menggantung kumpulannya itu akan memberi gambaran bahawa tiada ruang demokrasi di dalam PKR.
“Lebih-lebih lagi apabila ada ahli Parlimen seperti Hassan Karim (Ahli Parlimen Pasir Gudang) yang lebih teruk mengkritik Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebelum ini, tetapi tidak ada tindakan pun,” katanya. – UTUSAN






