KANGAR: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) komited menjalankan kajian dalaman yang menyeluruh berhubung implikasi ekonomi, sosial dan psikologi pelajar kesan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Naib Canselornya, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung arahan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang menggesa pihak universiti untuk meneliti secara menyeluruh kesan peluasan SST itu terhadap mahasiswa.
Katanya, pihak universiti akan mendapatkan input daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), wakil kolej kediaman serta jabatan hal ehwal pelajar untuk mengenal pasti bentuk sokongan atau intervensi bersesuaian yang boleh disediakan kepada mahasiswa.
“Selain itu, kita juga akan menyebarluaskan inisiatif tabung amanah dan zakat untuk membantu khususnya pelajar dalam golongan B40 yang terkesan
“Dalam masa terdekat, Unimap juga akan mengadakan libat urus bersama wakil Kementerian Pendidikan Tinggi dan universiti awam lain bagi memastikan sebarang cadangan atau langkah penambahbaikan dapat diselaraskan dan disampaikan kepada pemegang taruh universiti,” katanya di sini hari ini.
Semalam media melaporkan, semua Naib Canselor telah diminta membuat kajian terperinci bagi mengenal pasti kesan peluasan skop SST kepada mahasiswa di universiti masing-masing.
Zambry dilaporkan berkata, kajian itu bagi melihat sama ada peluasan skop SST menyumbang secara langsung atau tidak langsung terhadap peningkatan kos pembelajaran mahasiswa.
Sebelum itu, Yang Dipertua MPP Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Amar Aidid Mohd. Zain dilaporkan berkata, peluasan skop SST sejak Selasa lalu didakwa turut membawa implikasi kewangan kepada mahasiswa.
Kata Mohamad Amar Aidid, peluasan SST terhadap perkhidmatan langganan digital, pembaikan alat elektronik, dobi serta pembelian dalam talian memberi kesan langsung kepada peningkatan kos sara hidup pelajar.
Ujar Mohamad Amar Aidid, golongan mahasiswa secara realitinya berada dalam kalangan kelompok berpendapatan rendah dan bergantung sepenuhnya kepada pinjaman pendidikan serta sokongan keluarga.
Tambah Zaliman, Unimap percaya bahawa sebarang perubahan dasar ekonomi perlu diteliti dari pelbagai sudut termasuklah kesannya terhadap golongan pelajar.
“Ia bagi memastikan agar akses kepada pendidikan tinggi kekal inklusif dan tidak membebankan,” katanya. – UTUSAN






